Dec 30, 2009

Penutup 2009...Perancangan 2010

Fikiran terasa kosong biarpun kepala sendat dengan macam-macam hal yang timbul. Cuba menyusun kata supaya mudah dihurai dan difahami.

Daya ingatan pun agak lemah kebelakangan ini, saya jadi mudah lupa walaupun perkara itu baru sekejap berlaku. Adakah sebab kerap diserang sakit kepala? Itu yang mengganggu tumpuan dan fokus saya agaknya. Tak dapat berikan perhatian sebab tu tak dapat ingat dengan jelas.

Walaupun serangan dah makin berkurangan tapi agak risau juga sebab sampai sekarang perlu paksa diri untuk ingat butir-butir perbincangan dua tiga hari lepas. Teruk juga tahap ingatan saya ni mungkin dah tiba masa untuk saya betul-betul menjaga pemakanan dan mula bersukan kerana badan terasa sangat “tua”. Harapnya jadual waktu petang yang dah mula terisi dengan aktiviti mengeluarkan peluh yang dah hampir 6 tahun disekali-sekalakan akan menjadi rutin yang berterusan menggantikan aktiviti kuak lentang yang basi.

Sebelum menulis panjang lebar, saya nak berterima kasih atas ingatan dan doa semua sempena birthday saya yang lepas terutama budak ghemok yang paling awal telefon malam Rabu tu tak larat nak tunggu pukul 12 mlm. Terima kasih Ijat dan Aril...juga panggilan dari Abah dan Tek yang membuatkan mata saya berair sekejap. Juga sms paling awal dari Mila tengahmalam tu tapi dah tidur so tak lambat reply (sori dik) dan Kak Easy serta kawan-kawan lain, tak dilupa geng-geng facebook yang memenuhkan wall saya.

Luv u all!!!! :)

Oh sebelum terlupa sekali lagi, saya juga nak panjangkan ucapan maaf kepada 3 pasangan pengantin baru geng @Lambaian ....Zul & Liza, Nabil & Ainul dan Azhan & Enni kerana tak dapat hadir di hari persandingan mereka. Semoga dapat melalui alam rumahtangga dengan penuh rukun dan tolak-ansur. Tumpang gembira dengan kebahagiaan mereka.

Semakin hari kehidupan disini semakin lancar, mula seronok dengan pekerjaan baru tapi masih perlukan masa untuk diri sendiri. Tiada alasan tertentu cuma buat masa ini saya lebih selesa berada di rumah. Entahlah dua minggu pertama disini adalah tempoh penyesuaian diri yang tak mudah juga...walaupun tempat baru itu adalah tempat saya belajar dulu tapi perasaannya tetap berbeza.

Mungkin juga kerana perkataan “kalau” masih datang dan pergi dalam fikiran...kalaulah saya tak perlu memilih...kalaulah dapat kampus KL...benda-benda macam tulah yang membuatkan saya menjauhkan diri dari orang sekeliling. Biarpun cuba melawan ketidakstabilan emosi tapi tak semudah yang dijangka.

Agaknya betul kata orang, semakin tua kita akan menjadi semakin sensitif bersaing dengan kematangan. Jika betul imbangannya maka lahirlah keputusan yang bijak dan jika sebaliknya ia akan menjadi satu kesilapan yang tak sepatutnya.

Tahun 2009 bakal melabuhkan tirai...begitu cepat masa berlalu dan nampaknya tempoh perjanjian saya dengan ibu dan abah juga bakal berakhir setahun dari sekarang. Itu bererti salah satu agenda paling penting dalam kalendar 2010 saya adalah mencari cinta sebelum dicarikan hehe....

Entahlah selain dari Anuar Zain agak susah nak suka orang lain haha...ramai yang agak saya mesti terlalu memilih sangat tu yang tak kawin-kawin. Itu semua telahan orang yang tak kenal saya tapi sebetulnya memang kita perlu memilih pun kan. Kalau tak, tak adalah Allah letakkan panduan untuk kita mencari pasangan hidup. Tak gitu?

Perkataan sangat itu sebenarnya sangat tak sesuai sebab hal jodoh ni soal hati yang penuh misteri tu. A’ah... hati adalah terlalu misteri dan tak tercapai akal untuk mencari logiknya....sukar untuk menelah kerana tanpa sedar ia boleh berubah tanpa penjelasan yang nyata. Hebat dan agungnya ciptaan Allah yang Maha Esa, kita memiliki tapi tak mampu menguasai. Ironi bukan?

Ketidakupayaan mentafsir dan memahami hati membawa kepada kekeliruan dan keraguan. Itu yang membuatkan hati begitu misteri dan penuh tanda tanya pada saya. Sebab dan alasan bukan isu utama disini dan itulah kelemahan yang paling susah nak dibetulkan. Daraaats...

Suka ke tak? Sesuai ke tak? Layak ke tak? Serasi ke tak?.....

Agak tertekan juga bila difikirkan...jadi sangat hargai jika soalan yang sama tak dibangkitkan berkali-kali dalam tempoh setahun yang tinggal. Saya sedang mencuba, tak mudah untuk memenuhi harapan yang satu ini.

Semoga Allah temukan hati ini dengan pemiliknya dan semoga pemilikan itu tidak menjauhkan saya dari Dia, keluarga tersayang dan teman-teman yang sentiasa bersama. Amin.

Tadi macam tak tahu nak tulis apa...ni dah berjela pulak tapi tak apalahkan bukan selalu update pun.

Sebenarnya dalam seminggu ni bermula pada hari lahir saya sampai ke hari ini ada 3 khabar kematian yang saya terima. Walaupun bukan dari kalangan ahli keluarga sendiri tapi khabar begitu tetap menyentuh perasaan.

Semoga Allah cucuri rahmat ke-atas roh saudara-saudara seagama kita dan tempatkan mereka bersama orang-orang yang soleh dan solehah.

Terasa diri sangat kerdil...dihari saya bergembira menyambut ulangtahun kelahiran, ada yang kehilangan ahli keluarga tersayang. Semacam ingatan bahawa kematian itu boleh datang pada bila-bila masa dan keadaan. Peringatan awal membekalkan diri menghadapi alam yang kekal selamanya. Jemputan tanpa undangan tanpa tarikh, tempat dan masa...

Doakanlah agar semua kebaikan dan keburukan yang datang dan akan datang itu sebagai hadiah dan dugaan yang menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya.

Selamat tinggal 2009....setahun yang tiada ulangan....
Selamat datang 2010....setahun yang perlu dimanfaatkan.....

Dec 24, 2009

Alhamdulillah :)

Syukur pada Allah yang Maha Esa atas rahmat dan rezeki yang masih dipanjangkan, terima kasih kerana menyayangi hamba-Mu yang kerdil ini dengan limpahan bahagia dan juga ujian hidup....
Syukur kerana masih mengizinkan hambamu ini untuk bernafas dan menyambut ulangtahun kelahiran sekali lagi...
Terima kasih kerana telah mengurniakan keluarga yang sangat menyayangiku...sahabat baik yang memahami serta kawan-kawan yang sentiasa ada bersamaku mengharungi susah senang hidup ini.
Aku sebenarnya tidak keseorangan biarpun aku bersendirian...
Apa yang aku harap dalam hidup ini hanya bahagia dan berjaya bersama orang-orang yang menyayangiku. Semoga kegembiraan tidak melalaikan dan kesedihan tidak mematahkan semangat juangku.
Aku akan berjuang untuk orang-orang yang aku sayangi...
Aku akan melawan untuk kebenaran yang aku yakini...
Aku akan hargai hidup ini kerana akhirnya bukan disini...
Selamat bercuti....
- Kepala tengah sakit lain kali update panjang2 k -

Dec 8, 2009

Hidup lama di tempat Baru

Bercerita dari ofis baru...tapi ni tumpang pakai komputer orang, sendiri punye belum sampai lagi

Macam mana tempat baru?

Emmm buat masa ni belum dapat jumpa bos lagi, bos gi oversea...tapi officer dua-dua baik, tak le rasa kekok sangat mula-mula jumpa. Hari ni dah hari kedua masuk ofis tapi belum dapat apa-apa tugasan. Cuma boleh baca fail dan tengok sampel-sampel surat.

Tapi kalau tak ada kerja langsung boring jugak....mati kutu. Rasa lama sangat masa merangkak hehe dulu time sibuk minta nak tak ada kerja tapi bila betul-betul tak ada kerja merungut jugak. Tak bersyukur betulkan?

Sekarang ni saya bertugas di Fakulti Sains dengan salah satu research centre. Harap saya dapat sesuaikan diri dengan environment kerja kat sini. Hari melapor diri Jumaat lepas seronok dapat lunch dengan Ayen dan Mai, da le jugak kawankan.....

Tapi paling berterima kasih kat sepupu saya, Na yang banyak tolong, carikan rumah dan ambil-hantar saya ke tempat lapor diri. Sekarang dia dah jadi roomate baru saya...rumah baru pun ok gak. Alhamdulillah sumenya dah selesai, cuma badan je masih rasa penat dan lenguh-lenguh. Maklumlah 2 minggu tak cukup rehat.

Oklah dah kul 1 ptg ni....nak balik rumah jemur baju jap. Orang biasa pergi kerja pukul 8.30 pg bila kena masuk pukul 8.00 pg ni susah le jugak nak bangun. Haha nasib baik rumah agak dekat :) tunggu cik mood rajin datang nanti baru kuarkan update lengkap k.

baiii....

Dec 1, 2009

Budak Ghemok Saya

Alhamdulillah, syukur kerana masih dipanjangkan umur untuk meraikan Hari Raya Korban bersama keluarga tersayang. Sangat seronok dapat pulang ke rumah sendiri.

Ijat sangat teruja melihat saya dan Billa tapi sempat mengomel dengan comel bila abg yeil dia yang sampai lebih awal terus tidur, tak sempat dia nak berborak.

"Kesiannnn Ijat!!!"…itulah ayat membodek dia :)

Plan awal nak hantar Putih pergi car wash tapi selepas melelapkan mata dan melayan budak ghemok rasa sangat malas nak keluar.

Sudahnya petang tu saya ajak budak ghemok basuh Putih, dengan happy Ijat sibuk tolong saya tapi sekejap je sebelum dia merajuk dengan abah.


Budak ghemok yang ringan tulang....
Abah simbah air terkena badan Ijat…marah benar dia, terus naik mandi konon air tu kotor haha Ijat…Ijat…

Ijat sekarang dah pandai…nak buat apa-apa mesti baca bismillah dulu, kalau dulu baca time nak makan jer lani nak buka pintu kereta, pakai seat belt, baca suratkhabar even pakai seluar pun dimulakan dengan bismillah.

Ijat good boy katanyer…budak besar yang over manja tapi itulah kesayangan keluarga.

Anak bongsu sorang ni kadang-kadang susah jugak nak dikawal bila dia “naik angin” cakap le gajah rimau pun (bak kata ibu) tak makan samannye.….

Selalu kalau dia mengamuk ibu biarkan aje…kalau dilayan lagi teruk. Kena tunggu dia cool down dulu pastu cari menda yang dia suka contohnye cakap pasal Upin Ipin ke untuk tarik perhatian dia.

Tapi paling cute tiap kali dia marah atau lawan ibu, dia sendiri akan datang minta maaf dengan ibu siap cium pipi lagi bila mood dia dah ok. Selalunya dia akan bad mood bila mengantuk sangat, jangan le cuba usik silap-silap kena tendang haha…

Satu yang saya respek dengan budak ghemok ni kalau dia nampak saya tidur dia tak akan kacau. Sebab tu kalau time saya malas nak layan dia, dengar suara dia nak masuk bilik saya akan pura-pura tidur.

Nanti dengarlah dia mengeluh “Ak La idooo aah…” then dia akan terjengket-jengket keluar sambil menutup pintu perlahan-lahan. Selalunya selepas tu saya yang akan rasa bersalah sebab tipu dia huhu….

Lagi satu saya suka sangat tanya dia belajar apa kat sekolah, nanti dia akan jawab cikgu ajar A B C D (tahan ar 2 tahun jawapan yg sama) tapi sekarang kalau tanya dia akan jawab “Ijat aja ete-etik (matematik)…” kalau dua tiga kali dia ulang tapi saya tak faham-faham jugak apa yang dia cakap dia akan merungut…”Uhhh alah ah!”



Keras bahu tengok lembu korban kena sembelih.....

Perkara yang dia paling suka muzik…kalau suruh menulis ke, mewarna ke, tak sampai 5 minit dia dah hilang. Tapi kalau menyanyi dia boleh ingat lirik lagu-lagu yang dia dengar, sampai lagu Anuar Zain pun dia leh cam (hehe saya le yang ajar), nasyid (Billa & Mila cikgunye) atau lagu-lagu yang dia dengar dengan Aril. So kalau dia dengar lagu-lagu tu keluar kat radio dia boleh bagitahu itu lagu favourite siapa.

Alat-alat muzik pun dia suka, leka le bermain...muka pun berseri jer :)

Ijat….Ak La indu Ijat!!!

Hope one day Ijat boleh baca apa yang saya tulis macam kanak-kanak normal lain. InsyaAllah :)

Nov 20, 2009

Hijrah - Pilihan dan Pengorbanan

Surat bertarikh 23/10/2009 dari Bahagian Pengurusan Modal Insan, universiti di selatan tanahair telah memberikan dilema yang paling besar dalam hidup saya sebulan ini....

Sukar untuk memilih, apatah lagi bila perlu memilih satu antara dua perkara yang saya paling inginkan...tapi itulah hakikat hidup tak semua yang kita hendak kita boleh dapat dengan cara kita. Nampaknya perancangan saya tak selari dengan perancangan Allah....mungkin perancangan saya bukan yang terbaik sebab itulah saya diduga begini.

Setelah 2 minggu, akhirnya saya memilih untuk mencuba. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku, apa yang ada di hadapan kita kalau kita tidak melangkah dan berada disitu. Hidup tidak boleh tamak bukan? salah satu perlu dikorbankan untuk sementara.

InsyaAllah minggu kedua Disember nanti saya akan memulakan perjalanan baru, tempat kerja baru walaupun sebenarnya ia bukanlah tempat baru untuk saya. Kembali ke tempat yang banyak meninggalkan kenangan manis dalam memori 4 tahun mengejar ilmu dan membina persahabatan.

Berat hati untuk meninggalkan semua yang ada disini, tapi saya pergi dengan harapan dapat kembali semula menyambung impian yang tertangguh dalam sedikit masa. Walaupun begitu melihat kedua orang tua saya tersenyum lebar dengan keputusan ini sedikit sebanyak menyenangkan hati, sekurang-kurangnya saya dapat mengembirakan kedua-dua insan yang paling saya sayang.

Hijrah...adakah ini pilihan yang betul dan tepat? saya tak mampu untuk mengia atau menidakkannya tapi yang pasti doa dan redha ibu & abah bersama saya. Sokongan dan semangat kedua-dua sahabat baik juga banyak membantu melalui waktu sukar ini. Juga sahabat yang sudi mendengar dan memberi dorongan, terima kasih atas nasihat dan keprihatinan semua.

Masih ada ragu dengan keputusan yang telah dibuat, tetapi sekarang bukan masa untuk berundur. Semoga Allah mepermudahkan urusan hamba-Nya yang kerdil dan bergantung harap hanya pada-Nya. Hanya Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.

Ampunkanlah dosa-dosa hamba mu ini Ya Allah, bimbinglah aku untuk menjadi hamba-Mu yang sentiasa ikhlas dan redha menghadapi dugaan dan ujian-Mu. Amin

Nov 19, 2009

Kenangan Final Piala Malaysia - Kelantan vs Negeri Sembilan

Pertama kali saya menonton perlawanan bolasepak secara live, perasaan tu memang berlainan sekali. Apatah lagi menonton bersama Abah, Along, Aril dan kawan Along di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan akhir Piala Malaysia, Kelantan vs Negeri Sembilan.

Walaupun hampir 2 minggu berlalu tapi kenangan itu masih segar dalam ingatan. Cuma kesian dengan Abah, Along dan kawan dia yang datang dari Kelantan dan Terengganu pagi Sabtu tu dan juga adik saya Aril yang turun dari Arau semata-mata nak menyokong negeri kelahiran. Tapi nampaknya keputusan perlawanan amat mengecewakan.

Paling cute Aril sampai 5 kali ulang tanya…betul ke saya nak ikut Abah dan Along tengok bola. Kalau betul saya kenal hati budi adik saya tu, mesti dia tunggu saya tanya “Abe nak gi ko?”
Seperti yang dijangka, dari nada suara pun saya tahu besar harapan dia nak ikut sama. Tapi sengaja saya “bakar” perasaannya. Saya suruh dia tanya abah sendiri tapi katanya takut nanti abah membebel sebab dia masih ada 3 paper untuk final exam.

Aaaaihh…bila makin tua hati makin mudah lembut, selepas memikirkan alasan dan menyusun ayat dengan baik saya terus telefon Abah. Alhamdulillah abah benarkan Aril ikut serta. Bukan susah pun nak pujuk orang tua ni cuma cara kena betul, itu saja (ceh riak pulak ek hehe…).

Perjalanan kami ke Bukit Jalil menaiki LRT pun seronok, biarpun hujan lebat tapi melihat tren penuh dengan pemakai baju merah amat mengujakan. Terasa seperti berada di kampung, gamat dengan celoteh ore Kelate. Ada yang buat lawak tapi pada orang yang tak faham loghat Kelate mungkin tidak lawak bagi mereka. Betul juga, kalau cuma dengar intonasi tanpa memahami apa yang sebenar diperkatakan mungkin boleh menyebabkan salah faham sebab bunyinya kasar dan “garang”.

Sampai di Stesen Bukit Jalil bergema sorakan dan tepukan semangat dari penyokong-penyokong yang telah memenuhi perkarangan stadium. Tak sangka ramai giler penyokong yang sanggup datang memberi semangat kepada pasukan “The Red Warriors”.
My bodyguards hehe.....
Hampir jam 6.30 ptg barulah kami memasuki stadium, tergamam seketika bila hampir 70% tempat duduk dipenuhi penyokong merah. Pelbagai gelagat dan gaya dapat dilihat, ada yang berlagak macam clown, mak nyah buat-buat, koboi dan macam-macam lagi. Rasa bersemangat bila terdengar paluan gendang “Gomo Kelate Gomo” dan melihat alunan “ombak” dari penyokong-penyokong merah.

Pemandangan dalam stadium jam 6.30 petang

Semangat Cik Siti Wan Kembang hehe......

Setelah lama menunggu, standing ovation diberikan apabila pemain-pemain The Red Warriors muncul untuk sesi memanaskan badan, menunjukkan besar harapan mereka kepada pasukan kesayangan. Ketibaan Tengku Temenggong Kelantan juga diringi tepukan gemuruh. Suasana begitu menakjubkan sekali pada awalnya walaupun mula ada insiden membaling mercun dan botol ke arah pasukan polis yang berkawal di tepi padang.

Agak kelakar (bagi saya) melihat pasukan polis dengan kelengkapan khas berkawal di keliling padang, macam bersedia untuk rusuhan bukannya perlawanan bolasepak. Tapi dengan reputasi penyokong Kelantan yang terkenal dengan sikap fanatik dan panas baran kawalan begitu masih boleh diterima, cuma saya tak faham kenapa keliling padang????
bersambung.....

Nov 3, 2009

Simpang Pelangai - Rumah Baru Billa

Setelah dua minggu dibiarkan dalam draft...

Awal November lepas, saya ditemani Mila, Sabri dan Diana telah menghantar Billa ke ‘rumah barunya’. Perjalanan sejauh 115 km melalui Lebuhraya Karak itu memberi satu pengalaman yang agak mencabar juga.

Kami bertolak jam 3.15 petang selepas makan tengahari di gerai ayam kampung kegemaran sepupu saya. Kalau tak silap nama tempat tu Velodrom. Kedudukan gerai tersebut agak tersembunyi tapi cukup selesa di kelilingi pokok-pokok besar yang rimbun menjadikan suasananya redup dan nyaman sekali.

Diawal perjalanan hujan turun dengan agak lebat, sepupu saya dah biasa bawak Putih jadi taklah saya risau. Tiba di Karak kami berhenti di R&R untuk membeli minuman dan mengisi minyak. Kami perlu melalui pekan Karak atau pekan koboi bak kata Sabri sebelum tiba di simpang menuju ke Simpang Pelangai.

Lebuhraya Karak yang berbukit dan bersimpang-siur itu sudah cukup mencabar bagi saya tapi rupanya jalan ke Simpang Pelangai lagi mencabar. Betullah kata abah, jalannya macam ular kena palu…berbukit dan selekohnya tajam cuma nasib baik jalannya berturap elok.

Kiri kanan jalan cuma hutan dan sekali sekala dihiasi kebun sawit, kebun getah, kebun betik, kebun pisang tetapi suasananya memang damai dan nyaman. Sepanjang 43 km sebelum sampai ke ‘rumah baru’ Billa, saya mula terasa pening dan loya. Nasib baik tadi dah beli makanan dan air jadi sepanjang perjalanan itu saya tak berhenti mengunyah.

Macam nilah rupa jalan sejauh 43km...fuh

Mila awal-awal lagi dah ‘gone’…kesian dia teruk juga ‘pusing’. Selepas melalui Pekan Telemong, Pekan Chemomoi dan Pekan Manchis barulah kami tiba ke istana hinggap Billa lebih kurang jam 5.30 ptg.

Amik minyak ni sapu...cian Mila hehe mabuk jalan


Sempat ler kami berehat dan solat sebelum bertolak pulang. Sabri dengan baik hati telah membantu membaiki lampu bilik dan memasang mentol baru di luar rumah dan bilik mandi. Dia ketawa besar bila Billa bertanya sebab awek ada ke jadi murah hati sangat hehe….

Cikgu baru duk ber'sms'....


Tapi sepupu saya tu sejak dari dulu memang jenis yang baik hati, suka menolong orang dan tak berkira. Saya selalu juga tumpang dia bila hendak balik ke kampung. Mungkin sebab kami sebaya dan membesar bersama jadi dah rasa macam adik-beradik bukan lagi sepupu. Pertama kali ambil Putih dari Perodua pun saya minta tolong dia sebab takut lagi nak drive hehe...

Billa sebenarnya baru saja memulakan tugasnya sebagai cikgu di SM (A) di sini. Dia turun ke KL sebab nak mencari beberapa kelengkapan untuk ‘rumah baru’nya. Walaupun rumah tersebut kecil dan nampak kekurangan tetapi saya rasa untuk permulaan itu sudah cukup baik.

Agak susah untuk keluar ke bandar berdekatan kerana jadual laluan bas yang tidak kerap tapi kira beruntung juga sebab rumah dia terletak dibelakang sekolah, hanya perlukan 5 minit berjalan untuk sampai ke sekolah. Kedai makan dan kedai runcit pun dekat jadi insyaAllah rasanya jauh lebih selesa dari kawan-kawan Billa yang dihantar posting ke pedalaman Sabah/Sarawak.


Sekitar rumah baru Billa....aman damai jer

Depan rumah......

Suasana kampung.....

Special betul bentuk betik niee....

Cabaran dan dugaan itulah yang memaknakan lagi sebuah kehidupan. Kesusahan dan kesukaran yang dialami akan memberi kita peluang untuk lebih mengenali diri sendiri, menilai kelemahan serta kekuatan yang ada dalam diri. Terpulang pada diri kita bagaimana untuk menghadapinya.

Semoga Billa tabah dan dapat menjalani kehidupan barunya dengan gembira. Selamat bertugas cikgu!!!


Eleh dari belakang umah dah nampak sekolah....tak mencabar langsung


Good luck Biiiiiii…!!!!