Oct 11, 2010

--- Tanda Kasihku ----

Memandang wajah dukamu
Dadaku dihimpit padu
Mendengar sayu suaramu
Jantungku berentak sendu
Melihat titis airmatamu
Hatiku diasak pilu

Tak mampu membatu
Langkah ku ke arahmu
Agar dapat ku peluk dirimu
Agar dapat ku dengar rintihmu
Agar dapat ku sapu airmatamu

Tenangkan kesedihan itu
Ku kongsi duka lara mu
Usah ditanya mengapa begitu
Kerna aku sendiri tidak tahu

Cuma dengar hatiku berkata
Apa yang ku rasa itulah alasannya
Dirimu amat aku cinta
Kerna kesedihan itu aku turut terluka

Jika senyum itu
Sekadar menutup wajah duka
Jika tawa ria itu
Hanya tuk melindungi lara jiwa

Akan ku katakan padamu
Buangkan manis senyum itu
hentikan hilai tawa itu
menangislah semahu hatimu
aku ada disini bersamamu

Hadirku bukan hiasan
Sayangku bukan paksaan
Janjiku bukan mainan
Dirimu bukan bebanan

Datangi aku dengan deritamu
Tinggalkan aku dengan bahagiamu
Itulah tanda kasihku


Namun harus kau tahu
Kasihku tak sehebat kasih-Nya


Bila Allah pantas memakbulkan doamu itu kerna DIA menyayangimu...
Bila Allah lambat memakbulkan doamu itu kerna DIA ingin mengujimu...
Bila Allah tidak memakbulkan doamu itu kerna DIA sedang merancang sesuatu yg lebih baik untukmu...
Sentiasa berbaik sangka pada-Nya kerana setiap masa kasih sayang Allah mendahului kemurkaan-Nya

Aug 30, 2010

Berjalan Bersama Walau Tak Seiringan

Telah jauh kita berjalan
Merentasi masa yang tak berulang
Telah jauh kita tinggalkan
Memori yang tak akan hilang

Selamat Ulangtahun Kelahiran untuk sahabat-sahabat saya yang lahir dalam bulan Ogos terutama untuk Wanie, Kak Tie, Azhan, Zie, Wana, Nad dan tak lupa adik kesayangan Syabilla.

Untuk Wanie....

Sorry atas kelewatan 'wish' sebenarnya tak disengajakan. konon nak jadi orang last untuk wish tapi belum sampai waktu aku dah lena dulu. Maaf banyak-banyak kalau terkecil hati...aku tak lupa & insyaAllah tak akan lupa.

Kalau diingat balik dah hampir 17 tahun tak kita kenal....zaman remaja yang penuh keseronokan. Tambah seronok sebab ada mung, Elon dan Jie. Aku tak ingat macam mana kita kenal tapi aku ingat dulu kita sama-sama minat KRU terutama Yusry.....tak leh blah siap ada 'Yuswanie & Yussyila' lagi. Memang suci betul time tu...kumpul gambar KRU dan buat kad raya untuk diorang...hahahah kelakar tapi itulah yang membuatkan kita baik kan.


Wanie, Jie, Elon & Aku
Punya ler suka kat Yusry siap suka tengok budak laki tingkatan 3 yang muka dia macam Yusry...dah lupa apatah nama budak tu. Mesti dia tensionkan slalu kena pandang...hahaha...(masa tu kita tingkatan 5 tak silap tak sedar diri nak SPM)...apalagi yea, haaa SA aku MM...tu pun lawak bila diingat balik. Memang tak matang betul time tu kan. Tapi seronok sangat.....
Paling tak tahan bila ada 'spotcheck' kelam kabut cari idea mana nak sorok album KRU tu. Ingat lagi tak buku scrap AWAS yang mung bagi kat aku dulu sampai sekarang masih ada. Kenangan paling mahal tuh. Ohh lagi satu yang best, zaman menulis surat pada 'pen pal' sekali rupanya penipu besar. Tapi kelakar sebab dia yang menipu tapi rasa tertipu hahahah ada hati kan?

Serius seronok mengenang zaman sekolah menengah time muda-remaja kita dulu. Sekarang mung dah jadi mak pada 2 orang budak comel dah. Sama tak dengan apa yang kita fikirkan dulu?

Tak siapa tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, tapi aku tahu aku bersyukur ada mung sebagai sahabat.

Buat sahabat-sahabat semua doa saya semoga korang semua dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, dipermudahkan semua urusan dan diberikan kebaikan, kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat. Terima kasih atas persahabatan ini. Semoga ia terus kekal hingga ke akhir hayat walaupun pertemuan jarang bertamu. InsyaAllah. Jaga diri baik-baik.

Aug 18, 2010

Bila Terbiasa

Ada masa laluan hidup berubah dan kebiasaan kita merubah, sesetengah orang perlukan bertahun untuk berubah dan ada orang perlukan kurang untuk mengubah kebiasaan itu.

Adakah susah dan senangnya untuk berubah bergantung kepada betapa bermakna atau tidak bermaknanya suatu kebiasaan itu dalam hidup kita?

Mungkin ya mungkin juga tidak...
Berhenti ketika masih dapat berhenti biarpun hampa

Bila terbiasa keseorangan
Kebiasaan menghilangkan erti perkongsian

Bila terbiasa kehilangan
Kebiasaan melupakan erti kehadiran

Bila terbiasa dilupakan
Kebiasaan meluputkan erti pertemuan

Bila terbiasa
Kebiasaan menjadi kayu ukur
Bukan lagi salah atau benar
Dosa atau pahala

“Seksinya pompuan tu pakai!” .... biasa didengar “Ala biasa le tu trend terkini...”
“Tak baik le makan berdiri...” ....biasa didengar “Tak apa, semua orang makan berdiri je...”
“Boleh ke potong line nih...” ....biasa didengar “Aku biasa je buat...”

Bila ingin melakukan perkara-perkara yang salah, kita sering merasa gusar tapi bila perkara-perkara itu pernah dilakukan oleh orang lain mengapa perasaan gusar itu terus lenyap. Adakah kita telah terlalu selesa dengan kebiasaan sehingga salah dan benar bukan lagi keutamaan?

Harapnya dengan kedatangan Ramadhan yang penuh barakah ini dapat kita sama-sama mengubah kebiasaan yang tidak elok kepada yang lebih baik. Semoga kita beroleh keampunan dari Allah s.w.t atas ketidakpedulian kita kepada kebiasaan yang tidak menguntungkan kita di akhirat kelak.

"Selamat Menunaikan Ibadah Puasa dan Terawih"

Jul 30, 2010

Benda kecil pun boleh buat anda gembira...kenapa pilih untuk bersedih?

Lama termenung depan monitor cuba ingatkan password nak access blog...dah lama tak buka, dah lupa...teruknya.

Makin tua makin penting untuk menjaga dan monitor pemakanan kerana kesannya lebih cepat dirasai bila usia hampir mencecah ke angka 3 di depan. Ini berdasarkan pengalaman sendiri bukannya dari kajian pakar jadi jangan gunakan penyataan ini untuk berdebat dengan saya ok. tak larat nak layan....hehehe....

Semakin usia meningkat semakin banyak yang saya faham, jadi jangan pandang rendah pada kata-kata "bila dah tua baru faham". Pemahaman tu bukan kerana tak cerdik tetapi itulah misteri ciptaan Allah. Sampai masa dan izin-Nya barulah kita akan benar-benar faham. Bukan setakat pemahaman minda malah fizikal dan rohani juga.

Bila masalah dan dugaan datang bertimpa ada kala buat saya rasa menyesal kerana ketika zaman budak sekolah dahulu selalu rasa sangat best kalau dah kerja dan dewasa (tak ada effect pun sebenarnya). Menjadi dewasa bukan sekadar fizikal tapi juga pertambahan tanggungjawab dan komitmen. Melihat dan mengalami sendiri tidak akan sama. Jadi kepada remaja-remaja diluar, tak salah kalau cuba untuk berfikir seperti orang "dewasa" tapi jangan cuba "jadi" dewasa sebab selalunya memang tak akan "nampak" dewasa pun.

Sekarang bila tengok sesetengah remaja yang cuba nak jadi dewasa buat saya rasa kesian. Angan-angan tinggi melangit tapi nak digapai dengan tangan. Eh jap, apasal dah jadi serius plak entry nih. Dah meleret...niat sebenarnya cuma nak berkongsi kegembiraan selepas menonton video yang sangat kelakar menghilangkan bad mood saya. Entah macam mana scene tu benar-benar buat saya gelak tak ingat.


Ini adalah sebahagian dari scene drama korea bertajuk You're Beautiful Episod 7 kalau ada yang tak puas hati nak tengok full episode kan. Agak kagum dengan kreativiti pengarah drama ni dan pelakon yang memegang watak "Hwang Tae Kyung" nih. Hahaha dialognya yang simple membuatkan scene tu jadi lebih menarik (berdasarkan subtitle ler!)....best gak kalau belajar bahasa korea kan...

Kejadian macam gitu agak bagus untuk orang-orang yang ada tahap "EGO" dan bangga diri melampau. Hahahaha.....langit tak selalu cerah!

Tapi untuk si EGO tegar macam-macam alasan diorang boleh bagi untuk menutup kekurangan & kesilapan seperti ini....contohnya dialihbahasa dari drama ini...kata Hwang Tae Kyung yang cool & sarcastis selepas insiden dikejar khindzir diperkatakan..."I wasn't running away...i was avoiding it!".....hahahaha yealah!!

Selepas menonton drama ni berkali-kali banyak benda yang saya fikir...nanti saya kongsi lain kali yup. Nak balik rumah dah....daaaaa...

Ops! harap anda juga dapat cari perkara-perkara kecil yang boleh buat anda gembira!!! Kegembiraan itu tidak mahal sebenarnya... :)

May 6, 2010

Tonton, Fikir & Rasa

Kebelakangan ini saya suka menonton drama Korea dan Taiwan secara online. Itu sebab sebenar mengapa saya selalu balik lambat, bukan disebabkan beban kerja. Juga untuk elakkan saya tidur jika pulang awal ke rumah. Tanpa teman aktiviti riadah juga tak menarik, jadi menonton drama atas talian adalah pilihan terbaik.

Kalau awal remaja dulu saya suka membaca novel-novel cinta yang ramai tahu lebih banyak dongeng, kesempurnaan ilusi dan bukan seperti hakikat sebenarnya. Bila menonton drama-drama cinta "happily ever after" tak banyak beza seperti membaca novel cinta. Hero dan heroinnya mesti kacak dan cantik. Kalaupun miskin mesti pandai kalau tak 100% perfect pun yang penting tetap menyerlah dari orang lain.

Begitulah manusia sering mengimpikan yang terbaik untuk diri sendiri dan orang yang disayangi. Itu lumrah kehidupan dan hakikat keinginan manusia sebenarnya, tiada manusia normal yang menolak kebaikan dalam hidup mereka. Kalau ada itu cuma alasan untuk menutup kelemahan atau mungkin juga untuk menjaga hati orang lain. Mungkin!

Mereka yang matang dan hidup berpijak dibumi nyata pasti dapat memahami semua itu dengan jelas. Menghadapi kebenaran yang pahit sebenarnya lebih menyenangkan dari menerima alasan indah yang tak logik dek akal. Alasan yang tidak munasabah ini, lebih menyakitkan untuk diterima.

Ada yang berkata menonton drama-drama begitu mensia-siakan waktu. Tapi bagi saya jika ada perkara positif yang dapat diambil dari tontonan tersebut dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan maka tiada yang sia-sia. Apa yang dapat dipelajari itu juga terpulang kepada kebijaksanaan mereka yang menonton.

Selain melihat keindahan tempat-tempat yang dipaparkan, saya juga dapat menambah pengetahuan asas tentang budaya negara lain. Berdasarkan kedudukan ekonomi sendiri tak tahu bila saya mampu menjejakkan kaki ke sana, tetapi kurang-kurang saya mempunyai pengetahuan mengenainya. Beza paling ketara antara drama mereka dengan drama tempatan ialah kurangnya penggunaan bahasa 'orang putih'. Nampaknya mereka tak sependapat dengan kita, yang bila dikatakan orang moden kena cakap orang putihs....hehehe....

Mereka bangga dengan budaya dan bahasa mereka....bagaimana dengan kita?

Bila perlu dan penting dapat dibeza dan diletakkan pada tempatnya mungkin kita juga dapat menjadi seperti mereka.....

Dah tulis panjang-panjang tapi tak tahu nak letak tajuk apa sebab saya cuma tulis apa yang tiba-tiba terlintas dalam fikiran.....

Apr 30, 2010

Ulangtahun Abah ke-56

Catatan ini khas untuk abah tersayang.....

Selamat Hari Lahir!

Abah yang banyak memberikan pengalaman "ngeri" dalam hidup saya, tetapi kerana abah saya berani menghadapi "ketakutan".
Dulu saya sangat takut dengan abah hingga dari jauh bunyi tapak kaki abah pun saya dapat cam. Abah selalu membuat saya peka dan tangkas bertindak seperti memanjat jendela bilik bila tak sempat naik ke rumah bila keluar bermain sebelum waktu yang ditetapkan.

Abah mengajar saya perlunya ada sikap tidak mudah percaya, bila setiap kali balik dari kerja abah akan meletakkan tangan dibelakang tv untuk pastikan kami tidak menonton tv sebelum menyiapkan kerja sekolah. Kalau belakang tv panas, angin agak baik abah cuma akan marah tapi kalau angin tak baik tak dapatlah kami turun bermain petang itu.

Abah sentiasa membuat saya kagum bila beliau selalu dapat mengesan kami ada mengusik dan menggunakan barang diatas meja kerja beliau walaupun kami dah pastikan barang tersebut dah diletakkan seperti mana sebelum diambil.

Abah tidak pernah tak marah bila kami buat salah walau kesalahan sekecil menumpahkan air atas lantai yang basah. Tapi pelik saya tak pernah benci abah, seperti mana yang selalu ditonton dalam tv. Ada anak-anak yang sanggup pukul dan cederakan mak bapak sendiri bila dimarahi. Saya bukan anak yang baik juga sebab itu saya pernah merasa penampar dan rotan bulu ayam dari tangan abah (ops ibu juga tapi abah lagi banyak).

Saya bersyukur kerana Allah jauhkan perasaan benci itu dalam diri saya, Allah lindungi saya supaya bila dewasa saya dapat melihat erti "kasih sayang" disebalik setiap birat yang pernah singgah dibadan.

Semoga Allah berikan abah segala kebaikan yang ada didunia dan akhirat, dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik.

Semoga Allah berikan juga kemudahan kepada kami untuk membahagiakan abah, mampu memberikan semula semua keinginan yang telah abah korbankan demi anak-anak abah.

Semoga Allah jauhkan kami dari menyusahkan dan membuat abah risaukan kami lagi....

Terima kasih Allah kerana berikan saya peluang untuk memahami hati seorang abah...
Saya sayang abah saya!!!!! :)

Apr 2, 2010

Doa Persahabatan


Sebelum bercerita panjang, kita sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah Din Beramboi yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi. Walaupun saya bukan peminat arwah tetapi kadang-kala lawak beliau mampu membuatkan kita tersenyum dan ketawa. Pemergiannya secara tiba-tiba pasti amat perit untuk diterima oleh keluarga, rakan-rakan dan para peminat. Semoga mereka semua tabah menghadapi kehilangan ini dan sama-sama berdoa semoga roh arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Takziah.

Pagi tadi sempat juga mendengar celoteh Kiran dan AG dalam perjalanan ke ofis bercakap tentang kehilangan. Ada pemanggil sampai menangis bila berbicara tentang kehilangan orang yang mereka sayangi. Entah bila semakin tua mungkin jiwa makin lembut, mudah menitiskan air mata bila mendengar cerita-cerita yang mengharukan. Hal yang sama berlaku semasa menjenguk Program STAR V7 adik-adik KLM di Kem Kaizen hujung minggu lepas. Melihat mereka bersama membuatkan saya teringat zaman bersama kawan-kawan KLM dahulu, saat manis yang tak mungkin akan dilupa sepanjang hayat. Kalau nak dicerita satu-satu memang panjang berjela-jela tapi saya pasti, mereka juga merasakan yang sama cuma sekarang masa dan komitmen menjauhkan kita.

Kenangan STAR V7


Bila dah bekerja, masa bersama kawan-kawan pun makin kurang tambah pula kalau yang dah berkeluarga. Bila komitmen dah bertambah, masa pun kurang apa yang pernah dilakukan dahulu hanya dapat dikenang dan diingati.

Jadi pada adik-adik yang masih belajar di universiti atau kolej, ambillah kesempatan untuk aktif dengan persatuan atau kelab. Banyak yang dapat kita belajar tentang kehidupan, yang tidak ada dalam silibus universiti/kolej. Gunalah peluang ini untuk mengenali diri sendiri, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling kerana peluang tak selalu datang bergolek. InsyaAllah pengalaman dan skill yang kita dapat itu mungkin sedikit sebanyak dapat membantu kita menempuhi dugaan dan cabaran kehidupan mendatang.

Alhamdulillah, kalau dulu bersama KLM kini saya kembali aktif dengan @Lambaian dan paling mengembirakan bila dapat berprogram bersama kawan-kawan lama dan mengenali adik-adik KLM yang masih aktif sehingga ke hari ini. Perbezaan umur hampir 12 tahun bukanlah penghalang untuk kita membina ukhwah dan bekerjasama.

Kembali ke Kem Kaizen dengan beberapa alumni KLM benar-benar mengingatkan diri sendiri betapa bertuahnya saya mempunyai kawan-kawan seperti mereka. Setiap orang punya kelemahan, begitu juga saya dan mereka. Kami juga pernah bergaduh, berselisih pendapat dan kadangkala bergurau berlebihan (sampai ada yang berkecil hati) tetapi itu semua tidak pernah menggugat persahabatan kami. Kenapa?

Ukhwah kami datang dari susah payah, gelak tawa dan tangis duka yang dikongsi ketika berprogram bersama. Rakan yang sanggup susah dan senang bersama kita dari awal hingga akhir bukan senang untuk dimiliki dalam dunia sekarang. Disaat dunia mengagungkan kekayaan, pangkat dan nama, saya lebih bangga mendampingi rakan-rakan yang menganggap kasih sayang dan persahabatan adalah harta yang paling bernilai.

Bila keikhlasan dan kejujuran dijadikan tunjang dalam persahabatan, insyaAllah tiada halangan dan dugaan yang dapat memusnahkannya. Semoga kita semua diberkati dengan kawan-kawan yang bukan hanya akan memuji tapi juga yang akan menegur dan menasihati disaat kita leka dan alpa.

Suatu hari nanti saya berharap dapat berkumpul semula dengan semua geng Lambaian walau dimana pun mereka berada supaya ukhwah yang pernah terjalin tak akan terputus begitu saja.

Semoga persahabatan yang kita ada akan kekal sehingga ke akhir hayat