Oct 2, 2012

Politik tak pening, saya yang pening..

Rasa nak mengeluh...
Tapi mengeluh tak baik bagi orang Islam kan?

Harap PM cepat-cepatkan PRU....
Tak larat dah nak dengar dan baca laporan dalam akhbar utama dan alternatif...

Macam musykil pula dulu tak adalah seteruk ini 'suasana pertelingkahan politik' negara kita.

Sekarang isu-isu yang dimainkan bukan saja membakar perasaan rakyat berbilang kaum malah jika diamati pertelingkahan ini turut memberi kesan kepada isu akidah dan akhlak umat Islam sendiri.

Buat masa sekarang kalau ada mana-mana pemimpin yang nak guna slogan 'kepimpinan melalui teladan' tolong muhasabah diri anda dulu. Pastikan slogan itu tidak memalukan anda kemudian hari.

Bukan apa, melalui pemerhatian saya ada dikalangan pemimpin yang tunjukkan teladan yang tak elok pada rakyat.

Tak perlulah nak bagi contoh sebab masing-masing sudah besar dan ada akal untuk menilai. Kalau bagi contoh pun bukan semua boleh terima teguran. Tujuan saya bukan untuk menegur sesiapa cuma untuk berkongsi pandangan sendiri.

Kadang-kadang saya terfikir mereka ini tak ada perasaan malu atau segan ke bila melihat laporan /visual perlakuan mereka?

Patutlah amat bahaya bagi seseorang sekiranya telah tercabut perasaan malu dan segan dalam dirinya.

Dalam pening-pening tu saya jadi tertanya-tanya pula, siapa sebenarnya pemimpin yang baik.
Apakah ciri-ciri yang perlu ada untuk mengklasifikasikan dia adalah pemimpin yang baik sedangkan masing-masing mengaku mereka adalah pemimpin yang baik.

Memang betul sebab sebelah sini dan sebelah sana pun ada kebaikan yang dia dah buat dan ada juga yang tak betul pada pandangan mata saya ini.

Maka pertanyaan itu membawa saya kembali mengenali keperibadian Pemimpin Manusia Paling Agung yang telah diutus oleh Allah s.a.w sebagai Rasul terakhir iaitu Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abd Manaf bin Qushay.

Saya kira Rasulullah s.a.w adalah rujukan yang paling tepat untuk menggambarkan ciri-ciri pemimpin Islam sebenar. 

Saya kongsikan sedikit kisah dari Petikan Buku tulisan Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni yang diterjemahkan oleh Nor Hasanuddin bertajuk Seolah-olah Engkau Melihat Muhammad s.a.w.

Kisah 1(m/s 195-197)

....Pada suatu hari, seseorang membaca doa tasyahhud dengan berkata : " Ya Allah, kasihanilah aku dan Muhammad dan jangan Engkau mengasihani orang selain kami ini."

Mendengar itu, Rasulullah s.a.w bersabda:
Terjemahannya:

"Sesungguhnya engkau telah membatasi keluasan rahmat Allah yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang menginginkannya."
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari: (6010) dari Abu Hurairah r.a)

Kisah 2 

Seorang Arab Badwi berdiri dan kencing di bahagian tepi masjid. Para sahabat yang melihat peristiwa itu berdatangan untuk memukulnya. Namun Rasulullah s.a.w mencegahnya dan meminta segayung air untuk menyiram ke atas bekas kencingnya itu.

Baginda kemudian memanggil Arab Badwi tadi dengan lemah-lembut dan bersabda:-
Terjemahannya:

"Sebenarnya masjid ini tidak boleh dijadikan sebagai tempat kotoran dan najis. Ia sebagai tempat untuk solat, berzikir dan membaca al-Qur'an"
(Diriwayatkan oleh Muslim: (285) dari Anas bin Malik r.a)

Orang Arab Badwi itu akhirnya pulang menuju kaumnya setelah menyaksikan sifat ramah-tamah dan sopan-santun Rasulullah s.a.w. Dia mengajak kaumnya supaya memeluk agama Islam sehingga mereka semua memeluk agama Islam.

Kisah 3

Pada suatu hari, bangsa Yahudi masuk bertamu kepadanya. Mereka berkata: "Semoga kamu cepat mati wahai Muhammad."
Aisyah yang mendengar kata-kata busuk mereka itu menjawab:"Semoga kamu cepat binasa dan dilaknat Allah."
Mendengar demikian Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai Aisyah, apa ini? Sesungguhnya Allah tidak menyukai kejahatan dibalas dengan kejahatan yang serupa. Aku telah menjawab apa yang mereka katakan itu, dan aku katakan kepada mereka: 'Kamu juga demikian!'."

Dalam sejarah hidupnya tidak pernah ditemui Baginda mengeluarkan kata-kata kotor dan tidak sopan. Sebaliknya, hidupnya dipenuhi dengan kebersihan, kelembutan dan kesetiaan. Sebab Baginda adalah rahmat, hadiah, anugerah, ni'mat, keberkahan, kebaikan yang berterusan.


Perhatian: Rujuklah para ustaz/ustazah/alim ulama untuk tafsiran tepat pada kisah-kisah diatas supaya anda tidak tersalah tafsir isi yang ingin disampaikan. 


*************

Ada banyak lagi kisah yang memperihalkan sifat dan sikap Rasulullah s.a.w namun saya cuma petik tiga kisah ini sahaja supaya kita semua dapat berfikir sejenak.

Buku ini saya beli di Popular dengan harga RM13.90 sahaja.

Pada saya pemimpin Islam yang baik adalah yang mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupannya, mempunyai  keperibadian seperti Rasulullah s.a.w dan sentiasa menyeru rakyat ke arah kebaikan. Menjadikan tugas dan tanggungjawab sebagai amanah yang harus dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Mungkin ada ramai pemimpin seperti ini.
Jika inginkan pemimpin yang terbaik dikalangan yang baik, carilah pemimpin yang paling dekat keperibadiannya dengan keperibadian Rasulullah s.a.w maka dialah pemimpin yang terbaik di kalangan mereka.

Betul tak?

Selamat berfikir.
Sudah fikir, tanya iman pastu pergi mengundi yea.....itu juga amanah yang akan disoal diakhirat nanti.

: )

Oct 1, 2012

Tanpa kefahaman...bukan sahabat yang baik


Saya ingat saya dah jadi seorang sahabat yang baik...
dengan....

Cuba menjaga maruah & perasaan mereka...
Cuba menegur kesilapan mereka selembutnya...
Cuba tak berkecil hati bila mereka berkasar...
Cuba berada bersama mereka disaat susah dan senang...
Cuba memahami setiap cerita hidup mereka...
dan tidak lupakan mereka dalam setiap tadahan doa....

Namun semua itu belum cukup untuk saya dan mereka...

Ya Allah...sungguh besar dosaku pada mereka
Sesungguhnya aku tidak mengetahui
Kejahilan ini menutupi kebenaran
Berikanlah aku kemudahan dalam memahami ayat-ayat-Mu
Agar tidak aku bebankan kejahilan ini ke atas mereka

Maafkan saya sahabat
Rupanya saya juga silap
Melaksanakan perintah Allah
dan meninggalkan segala larangan-Nya
Adalah wajib pada yang telah menerima Islam
Tanpa pengecualian
Tiada istilah belum sampai seru...
Kita perlu berusaha mencari Petunjuk...
kerana dengan mencari dan berusaha itu...
Akan memudahkan hidayah datang kepada kita...
InsyaAllah....

Ingatlah sebelum kita menutup mata...
Perintah Allah mesti dilaksana walaupun terpaksa!

Ya Allah...
Ampunilah dosa-dosaku dan sahabat-sahabatku.
kerana mengikut tanpa mengerti...
mendengar tanpa memahami...

Sep 27, 2012

Belajar dari Kesilapan...terima teguran!


Sejak kecil dah dengar ungkapan ini....belajar dari kesilapan.

Dah besar sikit mula faham kita boleh belajar dari kesilapan sendiri dan juga dari kesilapan orang lain.

Makin ramai kawan makin luas dunia, makin banyak cabaran dan makin banyak cerita.
Jaringan maklumat yang luas semakin jauh jangkauan pandangan.

Kalau boleh dihitung dengan tepat agaknya sudah beratus ribu kesilapan yang sudah kita lakukan dalam hidup ini.

Entah berapa banyak pula yang telah 'membantu' kita menjadi manusia yang lebih baik.

Sebab itu jika ada yang menegur kesilapan/kealpaan kita ucapkan terima kasih padanya dan panjatkan kesyukuran pada-Nya.

Tetapi jika tak ada yang sudi menegur dan kita sendiri tidak sedar-sedar macam mana?

Disinilah untungnya mereka yang punya teman yang baik disisi tak kiralah dari kalangan ahli keluarga, saudara-mara atau sahabat. Teman yang berani menegur apabila kita membuat kesilapan.

Dan bertambah beruntung jika teman itu pandai menegur tanpa menyinggung perasaan. Lebih lagi beruntung kalau kita sendiri tidak sedar kita sebenarnya ditegur kerana lembutnya bicara.

Dan yang paling beruntung jika ada teman yang sabar menegur tanpa jemu.

Macammana nak cari teman begitu?

Secara mudah 'what you give, you get back' maka jadilah teman yang begitu juga.

InsyaAllah..dipertemukan.

Harus diakui bukan mudah untuk menerima teguran terutama yang menyakitkan telinga & yang mengguris hati.

Tetapi kerana mengenangkan yang diri bukan lagi budak-budak yang boleh dimaafkan kependekan akal & pertimbangan maka saya cuba praktikkan langkah-langkah berikut:-

1. Dengar 'teguran' dengan teliti :-

Biarkan orang yang menegur itu habiskan apa yang hendak disampaikan.

2. Tanya jika tidak berpuas hati dengan 'isi' teguran itu :-

Jika ada penyebab teguran itu datangnya dari sumber yang tidak tepat jelaskan pada penegur situasi sebenar.

3. Lihat siapa yang menegur.

Sebelum nak menjawap or meletup dengan teguran, tengok dulu siapa yang menegur.
Kalau memang dah perangainya suka nak menegur (saja-saja), abaikan saja.
Tapi kalau yang menegur itu memang peribadi dan akhlaknya dihormati dikalangan rakan, mempunyai ilmu dalam hal yang ditegur, yang lebih tua dari kita maka perlu dinilai kata-katanya sebaik mungkin.

4. Jawab teguran itu ketika rasional.

Jika teguran itu buat kita tersinggung, tunggu sehingga emosi reda baru balas/jelaskan.

5. Luah ketidakpuasan hati berkaitan teguran hanya pada orang yang dipercayai.

Jika tak dapat sangat tahan rasa tak puas hati, lepaskan pada sahabat karib yg boleh dipercayai saja.
Elakkan luah di FB atau pada orang yang salah.

Melalui pengalaman dan pemerhatian...sikap berhati-hati dan berfikir dulu sebelum berkata-kata adalah sangat penting.

Ada orang kata dia boleh terima teguran tapi bila ditegur mesti dia melenting....hehe jadi disinilah amat penting sekali skill menahan/mengawal perasaan atau dengan kata ringkasnya SABAR!

Sabar itu tidak mudah tapi hasilnya Indah.... :)

Terima teguran, baiki diri dan terus maju!


Mode: Menegur diri sendiri

Mar 22, 2012

Kerana aku Percaya

Mereka bertanya tentangmu

Apa saja yang ku tahu

Tetap tidak mampu

Memberikan mereka jawapan

Kerana aku tiada dalam hidupmu

Mereka berkata tentangmu

Apa saja yang ku dengar

Tetap tidak mampu

Menerima kejian umpatan

Kerana aku tiada dalam hidupmu

Mereka tak memahami

Jika aku tiada dalam hidupmu

Mengapa aku percayakanmu?

Jika aku tak mengenali siapa dirimu

Mengapa aku pertahankanmu?

Aku tak minta dimengerti

kerana aku percaya

Baiknya manusia bukan kerana banyak pahala

Selagi masih terbuka gerbang maksiat

Jahatnya manusia bukan kerana banyak dosa

Selagi belum tertutup pintu taubat

Segalanya mungkin


Lalu siapa mereka dan aku untuk menghukummu?


Sebelum berkata buruk tentang orang lain, fikirkan ke mana kesan kata-kata itu akan membawa kita nanti?. Ucapkan kata-kata yang baik semoga perkara yang baik juga kembali pada kita.


Jan 5, 2012

Cuti-cuti di Kampung


Alhamdulillah...dimurahkan rezeki kelapangan masa & kesihatan diri dapat pulang ke rumah keluarga.

Tak ada saat yang paling membahagiakan selain dapat bersama kedua-dua orang tua kita. Terlalu jauh dan lama merantau menjadikan ia saat-saat yang sangat dinantikan setiap hari.
Dah naik pangkat yea dulu setiap minggu nampaknya semangat untuk merantau semakin lama semakin surut. Kena cari pemangkin nampaknya nih?? hehe..

Sepuluh hari bercuti (termasuk hujung minggu tau!) lemau rasanya nak datang kerja semula. Malasnya Allah saja yang tahu. Tapi sampai jugalah ke tanah Johor ni dengan semangat yang lesu. Emm bukan permulaan yang baik! ish...ish

Jadual cuti 10 hari tu memang penuh, yang betul-betul berehat kat rumah 2 hari je rasanya. Perjalanan pulang pun dah diduga...entah malaun mana yang hantar barang-barang terlarang melalui khidmat pos bas ekspress. Tak pasal-pasal menyusahkan semua penumpang bas terpaksa ke pejabat kastam dahulu.

Nasib baik abang saya kerja di Terengganu jadi dapatlah minta tolong kakak ipar dan adiknya datang ambil. Nasib baik lagi adik kakak ipar pun bercadang untuk balik ke KB pada pagi itu. Tidak Allah berikan kesusahan jika tidak ada jalan
keluarnya...Alhamdulillah selamat sampai ke rumah ibuabah jam 3 ptg selepas sempat memborong keropok lekor dahulu.

Terpegun sekejap melihat bilik baru...luas terbentang ruangnya.
Terharu sekejap bila abah tolong sapukan lantai dan kemaskan cadar baru sambut kepulangan anak gadis tua dia nih.
Sampai mati pun saya tetap anak kecil abah kan huhu...

Sempat berborak sekejap dengan ibu, abah dan Billa sebelum melelapkan mata (walaupun dah nak senja) penat woo. Baru nak lelap, tersedar semula sebab abah masuk ke bilik bawakan kipas berdiri dan hidupkan. Lagi ler mata ni susah nak buka..

Terharu lagi walaupun mata memang tak boleh buka dah. Berterima kasih kat abah dalam hati je.

Walaupun abah saya garang tapi dalam hati ada taman hihi...

Hari kedua: Membeli-belah di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang

Singgah Solat Asar di Masjid Beijing dalam perjalanan pulang...

Ijat bergaya berlatarkan Masjid Beijing....


Oct 3, 2011

Kuliah Menarik Ustaz Azhar

Termalu sendiri mendengar kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus ini. Segan dengan kealpaan diri yang selama ini hanya mengikut saja segala amalan masyarakat setempat, adat dan tradisi tanpa mempersoalkan kedudukannya dari segi hukum syarak. Tanpa sedar rupanya telah diwariskan amalan yang bertentangan dengan hukum Allah.

Moga Allah mengampuni segala dosa kita semua. Banyak rupanya yang saya tidak tahu. Perkara yang dianggap tidak salah dan 'semua orang buat' tak semestinya benar-benar tidak salah di sisi Allah. Semoga Allah menberi kita semua taufik dan hidayah dalam menghayati ISLAM sebagai cara hidup kita seluruhnya.

Walaupun ada kata-kata Ustaz Azhar yang berdesing di cuping telinga tetapi saya akui apa yang dikatakannya lebih mudah untuk difahami. Patut le ramai anak-anak muda yang menyukai cara penyampaian Ustaz Azhar....kelakar tetapi isinya mudah dihadam.

Hari ini saya nak share 3 video kuliah Ustaz Azhar berkaitan perkahwinan. Nampaknya banyak yang perlu diperbetulkan dalam amalan majlis pertunangan/perkahwinan yang kita ikuti selama ini.


Video 1 : Soalan berkaitan bergambar bersama tunang & mewakilkan jawab akad nikah





Video 2 : Soalan hukum pengantin lelaki pakai inai & cium dahi isteri di khalayak




Video 3 : Perkahwinan yang diberkati Allah


Moga kita sama-sama dapat memperbetulkan diri & menambah ilmu agama.... :)

Credit: semua saudara-saudara yang memuatnaik video ini di You tube. Moga Allah berkati kamu semua. Terima kasih atas perkongsian.


Sep 30, 2011

Album Baru Anuar Zain 2011

Yes...saya pun dah beli seminggu lalu dan hampir tiap2 hari dengar kat office & rumah. Oh jangan risau...selepas ulangan kali kedua saya dah sambung dengar guna headphone untuk elakkan officemates & housemates muntah hijau hehehe..

No...no...bukan sebab lagu2 AZ ni tak best tapi sebab mereka bukan penggemar AZ so mendengar lagu yang sama berulang kali dari pagi sampai ke petang mungkin boleh buat mereka tension. Hidup bersama kena le bertimbang rasa juga...jangan layan kepala kita jer kan?? ;)

Saya suka SEMUA lagunya...alhamdulillah rasa berbaloi dengan harga yang dibayar. Kalau nak dirank-kan dalam carta suka-hati-sendiri...inilah kedudukannya:-
  1. Cinta Harus Memiliki
  2. Nadi Terhenti
  3. Ajari Aku
  4. Sempurnakan Aku
  5. Pernahkah
  6. Ku Berjanji Karna Cinta
  7. Terindah
  8. Simpati Cintamu
Saya tak pandai pasal terma-terma dalam muzik/lagu...saya cuma pandai dengar je. Lagu yang boleh buat saya rasa relax & sedap di telinga itulah yang best. Tapi yang saya perasan lirik lagu2 baru AZ ni banyak yang macam sedih/hampa/kecewa tapi yang berlainan lagunya pula lebih 'hidup'. Alaaa macam mana nak cakap yea...emmm walaupun liriknya bercerita pasal kekecewaan tapi lagunya taklah ikut sendu dan mendayu-dayu. Susah le nak explain korang dengar le sendiri nanti hehe...

Hahaha ok...ada kawan2 yg cakap malas nak tanya best ke lagu2 baru AZ coz diorang kata confirm le saya jawab bestkan [yg kelakarnya indirectly memang diorang dah tanya pun hehe]. Memang le saya minat AZ tapi tak ada le sampai fanatik nak cakap yang tak sedap tu pun sedap. Hidup kena jujur dah makin tua ni kena beringat tiba-tiba Allah cabut nyawa tak sempat nak minta maaf.

Cuma yang agak musykil 'tajuk' albumnya tetap juga 'Anuar Zain'. Selalukan ada le tajuk special untuk satu2 album. So kat sini agak susah juga kalau nak cari album AZ ni (kecuali dia dah tgk dulu gambar album baru ni kat promo) nanti tertukar dengan album2 lama. Pape pun mungkin ada kisah disebaliknya kita tak tahukan. Paling penting orang yang produce dan orang yang membeli puas hati....tak gitu? Saya puas hati! :)

Tapi kan 8 lagu tak rasa sikit ke? tak puas dengar dah ulang lagu semula hehe...

Oh design cover dia pun simple je...i like! tak serabut2 hoho...

Ish2 semua nak komen kan...biasa le manusia hihi..

Dalam banyak2 lirik saya paling suka/feel bila part ni:-


"Ku tak percaya kita, terpisah karena berbeda, lalu kemana kan kucari...Ku tak percaya kata cinta tak harus memiliki, lalu mengapa? Hati terasa sakit" - Cinta Harus Memiliki [Komposer/lirik: Numata]

Auchhhh!