Oct 3, 2012

Aku & Jubah


Time nak balik dari office semalam tengah turun tangga terlintas dalam fikiran....
Esok nak share cerita pasal jubah le...
hahaha tetiba kan sebab semalam terlambat rembat saja jubah yang dah tergantung pakai pergi kerja.

Padahal jubah tu dah dipakai malam sebelumnya tetapi disebabkan pakai pergi dengar talk dalam bilik yang berhawa dingin jadi tak ada masalah bau kot hehe...rasa-rasalah.

Bukan apa boleh jimat air dan tenaga elektrik kalau kurangkan jumlah pakaian yang dibasuh. Bayangkan seminggu cuma sekali saja mesin basuh tu ber'jalan'. 2 minggu 3 kali 'jalan' sebab tambah basuh tuala, cadar, telekung dan selimut.
Penting tau amalkan kebersihan terutama selepas antibodi dah semakin berkurang ni.

Alamak panjang cerita lain pulak...

Sambung dengan niat asal...

Masa zaman muda-muda dulu...time sekolah rendah macam pelik je tengok orang perempuan pakai jubah. Masa tu tak ramai orang yang berpakaian begitu jadi siapa yang pakai tu memang akan nampak menonjollah.

Masuk sekolah menengah semacam ada satu mind set yang orang pakai jubah, tudung labuh ni orang alim. Kalau jumpa mesti rasa segan tapi tak ada le pulak bagi kesan pada diri nak ikut jejak langkah. Rasa tu hilang sebaik bayangan orang itu hilang.

Kemudian masuk kursus persediaan adalah kawan-kawan se'dorm' yang berjubah dan bertudung labuh. Oh rupanya dulu sekolah agama dan makin lama kenal mind set orang berjubah ini orang alim semakin hilang.
Mereka pun macam kita juga tiada yang luar biasa kecuali ilmu agama lebih sedikit dan kefahaman menutup aurat dengan sempurna yang membezakan.

Masuk universiti ada satu perasaan tak suka pada orang berjubah dan bertudung labuh ini sebab ada satu peristiwa yang menyebabkan saya rasa mereka ini juga bukan sempurna. Pada saya mereka ini sepatutnya mendekati dan berkawan dengan perempuan Islam yang tidak menutup aurat supaya dapat menarik mereka memahami Islam.Tetapi sebaliknya mereka memandang rendah dan hanya berkawan sesama mereka sahaja.
Bukan semua tetapi kebanyakan yang saya jumpa begitulah.

Saya mula mengenakan jubah selepas arwah mak cik saya meninggal dunia. Jubah-jubah peninggalan arwah itu adik saya bawa pulang ke rumah dan kami 3 beradik bergilir-gilir memakainya.

Entahlah barang orang memang semua rasa bestkan.

Itulah pertama kali saya rasa sangat selesa, entah kenapa masa itu rasa jubah itu sangat menyenangkan, sejuk walaupun berjalan ditengah panas.

Oh ya saya tak bertudung labuh cuma pakai tudung biasa saja, masih lagi memakai tudung pelbagai fesyen asalkan tidak nipis dan menutupi dada.

Sejak hari itu jubah pasti akan menadi pilihan saya ke mana-mana. Aim sekarang nak tambah koleksi jubah dalam almari, terutama jubah yang straight cut dengan kain tebal yang 'jatuh' ketika dipakai. Walaupun ditiup angin tak melekap pada tubuh.

Masa adik saya nak berkahwin tahun lepas atas kemurahan hati sahabatnya yang belajar di Mesir telah tolong belikan 6 pasang jubah hanya dengan RM150 sahaja!!! teruja....teruja....murahkan?

Sekarang bila dingatkan kitaran berpakaian dan berfesyen dalam hidup ini....saya bersyukur kerana kitaran itu telah membawa saya ke tahap ini.

Jubah hanyalah salah satu pilihan pakaian yang menepati ciri-ciri pakaian muslimah. Tetapi ia tidak menentukan baik buruk perangai dan akhlak pemakainya.

Namun seperti yang Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah katakan beliau memakai serban mengikut sunnah Rasulullah s.a.w dan dengan memakai serban itu dapat menimbulkan rasa malu untuk membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Aku rasa perasaan yang sama timbul bila memakai jubah kerana segan pelambangan pakaian itu tidak sesuai dengan akhlak dan tingkahlaku si pemakainya.

Nak kata aku jadi lebih baik 100% tu tipulah, tetapi time aku pakai jubah tu rasa segan dan malu le nak bercakap kuat-kuat or nak buat aksi2 yang tidak sopan.
Betul sebab teringat pakai jubah tapi perangai ntah apa-apa buat malu saja.

Pakaian juga sebenarnya boleh menjadi penghalang kita dari berbuat sesuatu yang tidak kena dengan pelambangannya.

Semoga perubahan yang baik akan kekal & menjadi lebih baik setiap hari untuk kita semua.


Oct 2, 2012

Pengaruh Abah, Didikan Ibu...


Kebelakangan ini aku banyak mengikuti perkembangan politik semasa. Dulu aku cukup tak suka dengan cakap-cakap politik.

Waktu aku kecil dulu abah pernah aktif dengan sebuah parti politik yang aku namakan Parti A. Masa tu pernah juga aku dan abang mengikut abah ke pos parti berdekatan rumah arwah Mak Long bila kempen pilihanraya bermula. Suka tengok kemeriahan poster2 dipasang, dengar perbincangan dan kadang-kadang tumpang bersorak tengok abang2 yang jaga pos lawan karom.

Budak kecik apa sangat nak difikir.

Bila dah besar, dah mula faham apa yg diucapkan aku mula tak suka dengar cakap-cakap politik yang selalunya aku mengata kau, kau mengata aku. Bagi aku orang politik adalah orang berkepentingan. Kau ada kuasa kau kawan, kau hilang kuasa kau terbuang. Susah nak cari kawan sebenar dalam politik. Itulah yang tersemat dalam otak aku sejak berpuluh tahun.

Selepas Parti A dibubarkan abah pun berhenti berparti. Ada yang ajak masuk BN dan ada yang ajak masuk Pas. Tetapi aku rasa abah memilih untuk mengekalkan kawan-kawannya. Jika kawan yg masuk BN ajak pergi program kemasyarakatan anjuran mereka, abah pergi. Jika kawan Pas ajak lawan bolasepak abah join.

Kemudian abah beralih bidang, aktif pula dengan rukuntetangga kawasan dan Kelab Penyokong bola sepak Kelantan.

Aku lupa apa jawatan abah dalam Kelab Penyokong tetapi aku ingat dulu abah selalu ke stadium ketika ada perlawanan. Buatkan tempahan baju, topi, mafla dan sebagainya khas untuk kelab penyokong. Jika ada perlawanan di tempat lawan sibuk diuruskan pengangkutan & penginapan di sana pula. Peneman setia abah waktu itu adalah adik lelakiku Aril. Seawal usianya 6 tahun dialah orang yang paling beruntung sebab abah pasti akan membelikan jersi/baju kelab penyokong mengikut edisi yang dikeluarkan dan pastinya akan menemani abah ke stadium utuk menonton perlawanan.

Berhenti dari Kelab Penyokong abah kemudian aktif dalam aktiviti rukuntetangga. Bermula sebagai AJK kemudian menjadi setiausaha untuk beberapa tahun sebelum dilantik menjadi Pengerusi. Banyak aktiviti dan program kemasyarakatan yang telah aku dan keluarga sertai ketika abah bersama rukuntetangga. Tambahan pula mesyuarat mereka selalu diadakan di rumah arwah Mak Long yang juga merupakan salah seorang AJK. Walaupun sekarang rukuntetangga ini sudah tidak seaktif dulu tapi aku masih lihat abah mengambil berat tentangnya.

Bila difikirkan semula aku rasa minat abah banyak mempengaruhi kami adik-beradik. Semangat dan kesungguhannya telah menimbulkan minat dan rasa kepedulian kami.

Walaupun sekarang abah sudah tidak larat untuk ke stadium setiap kali perlawanan bolasepak tetapi kebiasaan itu diganti pula oleh Along dan Aril. Dua orang penyokong tegar ini pasti tidak akan melepaskan peluang ke stadium jika berkesempatan. Edisi terakhir anak lelaki abah, Izzat juga telah menyertai dua abangnya baru-baru ini. Dia juga mewarisi keberuntungan Aril dulu sebab setiap kali Kelantan FA keluarkan jersi baru pasti Izzat akan mendapat jersi yang ORIGINAL. Abah pula cuma akan ke stadium apabila Kelantan masuk ke perlawanan akhir mana-mana Piala. Aku dan Mila juga akan menyertai mereka untuk memberikan sokongan.
  
Pengaruh ini yang membuat aku memilih untuk menyertai Kelab Lambaian Masyarakat (Lambaian) ketika di UTM dulu. Salah satu jawapan aku ketika menghadiri temuduga untuk menyertai Lambaian. Alhamdulillah, itu adalah salah satu keputusan terbaik yang pernah aku buat sepanjang hidup aku.

Disebabkan Lambaian aku dapat ramai sahabat yang baik selepas beberapa tahun melalui susah senang berprogram bersama. Aku juga dapat belajar menjadi seorang sahabat, fasilitator, anak angkat dan pemimpin yang baik. Pengalaman dan pengetahuan yang tidak akan diperolehi didalam bilik kuliah. Kini usia persahabatan kami hampir menjangkau 13 tahun...semoga persahabatan ini kekal hingga ke Syurga.

Bagilah apa saja jawatan ketika program, setiausaha, ajk apa pun aku tak risau sebab selain senior2 aku ada abah sebagai sumber rujukan.

Apa yang aku belajar dari pemerhatian dan pengalaman hidup sendiri adalah besarnya pengaruh ibubapa dalam hidup anak-anak. Segala yang dilakukan boleh menjadi sumber inspirasi dan perangsang buat mereka.

Bila aku bandingkan didikan dan cara asuhan yang aku terima dari abah dan ibu dulu jauh berbeza dengan anak-anak zaman sekarang.

Aku pelik bila tengok kanak-kanak/remaja boleh merayau-rayau dengan kawan-kawan waktu malam. Melihat cara mereka berpakaian dan bersosial serta layanan mereka terhadap guru dan masyarakat sekeliling.

Senang cakap kalau aku buat benda yang budak sekarang buat mahu jadi arwah kena bedal dengan abah dulu.
Pandangan dari segi toleransi dalam menghukum. 

Pada mata orang ramai mungkin tiada yang istimewa pada abah. Tetapi dihati aku abah adalah orang yang paling istimewa. Istimewa kerana aku pernah melihat kesilapan, kesukaran dan kesedihan beliau tetapi sedikit pun tidak mengurangkan rasa hormat terhadapnya.  

Aku sebenarnya mirip dan rapat dengan ibu tetapi banyak mewarisi sikap abah...dua2 ada!

Lagi satu bila aku dah dewasa ni ibu banyak berkongsi dengan aku setiap kesukaran yang beliau dan abah lalui untuk membesarkan kami adik-beradik. Dan aku rasa itu juga salah satu perkara yang membuka mata dan menyedarkan aku untuk cuba menjadi anak yang baik.

Jika Allah s.w.t beri aku peluang dan keizinan untuk menjadi seorang ibu nanti, aku harap aku boleh beri contoh dan pengaruh yang baik kepada anak-anak seperti Abah & boleh melayan serta mendidik anak-anak dengan sabar seperti Ibu.

InsyaAllah.

Mode: Rindu Abah, Ibu & adik-beradik... 

Politik tak pening, saya yang pening..

Rasa nak mengeluh...
Tapi mengeluh tak baik bagi orang Islam kan?

Harap PM cepat-cepatkan PRU....
Tak larat dah nak dengar dan baca laporan dalam akhbar utama dan alternatif...

Macam musykil pula dulu tak adalah seteruk ini 'suasana pertelingkahan politik' negara kita.

Sekarang isu-isu yang dimainkan bukan saja membakar perasaan rakyat berbilang kaum malah jika diamati pertelingkahan ini turut memberi kesan kepada isu akidah dan akhlak umat Islam sendiri.

Buat masa sekarang kalau ada mana-mana pemimpin yang nak guna slogan 'kepimpinan melalui teladan' tolong muhasabah diri anda dulu. Pastikan slogan itu tidak memalukan anda kemudian hari.

Bukan apa, melalui pemerhatian saya ada dikalangan pemimpin yang tunjukkan teladan yang tak elok pada rakyat.

Tak perlulah nak bagi contoh sebab masing-masing sudah besar dan ada akal untuk menilai. Kalau bagi contoh pun bukan semua boleh terima teguran. Tujuan saya bukan untuk menegur sesiapa cuma untuk berkongsi pandangan sendiri.

Kadang-kadang saya terfikir mereka ini tak ada perasaan malu atau segan ke bila melihat laporan /visual perlakuan mereka?

Patutlah amat bahaya bagi seseorang sekiranya telah tercabut perasaan malu dan segan dalam dirinya.

Dalam pening-pening tu saya jadi tertanya-tanya pula, siapa sebenarnya pemimpin yang baik.
Apakah ciri-ciri yang perlu ada untuk mengklasifikasikan dia adalah pemimpin yang baik sedangkan masing-masing mengaku mereka adalah pemimpin yang baik.

Memang betul sebab sebelah sini dan sebelah sana pun ada kebaikan yang dia dah buat dan ada juga yang tak betul pada pandangan mata saya ini.

Maka pertanyaan itu membawa saya kembali mengenali keperibadian Pemimpin Manusia Paling Agung yang telah diutus oleh Allah s.a.w sebagai Rasul terakhir iaitu Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abd Manaf bin Qushay.

Saya kira Rasulullah s.a.w adalah rujukan yang paling tepat untuk menggambarkan ciri-ciri pemimpin Islam sebenar. 

Saya kongsikan sedikit kisah dari Petikan Buku tulisan Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni yang diterjemahkan oleh Nor Hasanuddin bertajuk Seolah-olah Engkau Melihat Muhammad s.a.w.

Kisah 1(m/s 195-197)

....Pada suatu hari, seseorang membaca doa tasyahhud dengan berkata : " Ya Allah, kasihanilah aku dan Muhammad dan jangan Engkau mengasihani orang selain kami ini."

Mendengar itu, Rasulullah s.a.w bersabda:
Terjemahannya:

"Sesungguhnya engkau telah membatasi keluasan rahmat Allah yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang menginginkannya."
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari: (6010) dari Abu Hurairah r.a)

Kisah 2 

Seorang Arab Badwi berdiri dan kencing di bahagian tepi masjid. Para sahabat yang melihat peristiwa itu berdatangan untuk memukulnya. Namun Rasulullah s.a.w mencegahnya dan meminta segayung air untuk menyiram ke atas bekas kencingnya itu.

Baginda kemudian memanggil Arab Badwi tadi dengan lemah-lembut dan bersabda:-
Terjemahannya:

"Sebenarnya masjid ini tidak boleh dijadikan sebagai tempat kotoran dan najis. Ia sebagai tempat untuk solat, berzikir dan membaca al-Qur'an"
(Diriwayatkan oleh Muslim: (285) dari Anas bin Malik r.a)

Orang Arab Badwi itu akhirnya pulang menuju kaumnya setelah menyaksikan sifat ramah-tamah dan sopan-santun Rasulullah s.a.w. Dia mengajak kaumnya supaya memeluk agama Islam sehingga mereka semua memeluk agama Islam.

Kisah 3

Pada suatu hari, bangsa Yahudi masuk bertamu kepadanya. Mereka berkata: "Semoga kamu cepat mati wahai Muhammad."
Aisyah yang mendengar kata-kata busuk mereka itu menjawab:"Semoga kamu cepat binasa dan dilaknat Allah."
Mendengar demikian Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai Aisyah, apa ini? Sesungguhnya Allah tidak menyukai kejahatan dibalas dengan kejahatan yang serupa. Aku telah menjawab apa yang mereka katakan itu, dan aku katakan kepada mereka: 'Kamu juga demikian!'."

Dalam sejarah hidupnya tidak pernah ditemui Baginda mengeluarkan kata-kata kotor dan tidak sopan. Sebaliknya, hidupnya dipenuhi dengan kebersihan, kelembutan dan kesetiaan. Sebab Baginda adalah rahmat, hadiah, anugerah, ni'mat, keberkahan, kebaikan yang berterusan.


Perhatian: Rujuklah para ustaz/ustazah/alim ulama untuk tafsiran tepat pada kisah-kisah diatas supaya anda tidak tersalah tafsir isi yang ingin disampaikan. 


*************

Ada banyak lagi kisah yang memperihalkan sifat dan sikap Rasulullah s.a.w namun saya cuma petik tiga kisah ini sahaja supaya kita semua dapat berfikir sejenak.

Buku ini saya beli di Popular dengan harga RM13.90 sahaja.

Pada saya pemimpin Islam yang baik adalah yang mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupannya, mempunyai  keperibadian seperti Rasulullah s.a.w dan sentiasa menyeru rakyat ke arah kebaikan. Menjadikan tugas dan tanggungjawab sebagai amanah yang harus dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Mungkin ada ramai pemimpin seperti ini.
Jika inginkan pemimpin yang terbaik dikalangan yang baik, carilah pemimpin yang paling dekat keperibadiannya dengan keperibadian Rasulullah s.a.w maka dialah pemimpin yang terbaik di kalangan mereka.

Betul tak?

Selamat berfikir.
Sudah fikir, tanya iman pastu pergi mengundi yea.....itu juga amanah yang akan disoal diakhirat nanti.

: )

Oct 1, 2012

Tanpa kefahaman...bukan sahabat yang baik


Saya ingat saya dah jadi seorang sahabat yang baik...
dengan....

Cuba menjaga maruah & perasaan mereka...
Cuba menegur kesilapan mereka selembutnya...
Cuba tak berkecil hati bila mereka berkasar...
Cuba berada bersama mereka disaat susah dan senang...
Cuba memahami setiap cerita hidup mereka...
dan tidak lupakan mereka dalam setiap tadahan doa....

Namun semua itu belum cukup untuk saya dan mereka...

Ya Allah...sungguh besar dosaku pada mereka
Sesungguhnya aku tidak mengetahui
Kejahilan ini menutupi kebenaran
Berikanlah aku kemudahan dalam memahami ayat-ayat-Mu
Agar tidak aku bebankan kejahilan ini ke atas mereka

Maafkan saya sahabat
Rupanya saya juga silap
Melaksanakan perintah Allah
dan meninggalkan segala larangan-Nya
Adalah wajib pada yang telah menerima Islam
Tanpa pengecualian
Tiada istilah belum sampai seru...
Kita perlu berusaha mencari Petunjuk...
kerana dengan mencari dan berusaha itu...
Akan memudahkan hidayah datang kepada kita...
InsyaAllah....

Ingatlah sebelum kita menutup mata...
Perintah Allah mesti dilaksana walaupun terpaksa!

Ya Allah...
Ampunilah dosa-dosaku dan sahabat-sahabatku.
kerana mengikut tanpa mengerti...
mendengar tanpa memahami...

Sep 27, 2012

Belajar dari Kesilapan...terima teguran!


Sejak kecil dah dengar ungkapan ini....belajar dari kesilapan.

Dah besar sikit mula faham kita boleh belajar dari kesilapan sendiri dan juga dari kesilapan orang lain.

Makin ramai kawan makin luas dunia, makin banyak cabaran dan makin banyak cerita.
Jaringan maklumat yang luas semakin jauh jangkauan pandangan.

Kalau boleh dihitung dengan tepat agaknya sudah beratus ribu kesilapan yang sudah kita lakukan dalam hidup ini.

Entah berapa banyak pula yang telah 'membantu' kita menjadi manusia yang lebih baik.

Sebab itu jika ada yang menegur kesilapan/kealpaan kita ucapkan terima kasih padanya dan panjatkan kesyukuran pada-Nya.

Tetapi jika tak ada yang sudi menegur dan kita sendiri tidak sedar-sedar macam mana?

Disinilah untungnya mereka yang punya teman yang baik disisi tak kiralah dari kalangan ahli keluarga, saudara-mara atau sahabat. Teman yang berani menegur apabila kita membuat kesilapan.

Dan bertambah beruntung jika teman itu pandai menegur tanpa menyinggung perasaan. Lebih lagi beruntung kalau kita sendiri tidak sedar kita sebenarnya ditegur kerana lembutnya bicara.

Dan yang paling beruntung jika ada teman yang sabar menegur tanpa jemu.

Macammana nak cari teman begitu?

Secara mudah 'what you give, you get back' maka jadilah teman yang begitu juga.

InsyaAllah..dipertemukan.

Harus diakui bukan mudah untuk menerima teguran terutama yang menyakitkan telinga & yang mengguris hati.

Tetapi kerana mengenangkan yang diri bukan lagi budak-budak yang boleh dimaafkan kependekan akal & pertimbangan maka saya cuba praktikkan langkah-langkah berikut:-

1. Dengar 'teguran' dengan teliti :-

Biarkan orang yang menegur itu habiskan apa yang hendak disampaikan.

2. Tanya jika tidak berpuas hati dengan 'isi' teguran itu :-

Jika ada penyebab teguran itu datangnya dari sumber yang tidak tepat jelaskan pada penegur situasi sebenar.

3. Lihat siapa yang menegur.

Sebelum nak menjawap or meletup dengan teguran, tengok dulu siapa yang menegur.
Kalau memang dah perangainya suka nak menegur (saja-saja), abaikan saja.
Tapi kalau yang menegur itu memang peribadi dan akhlaknya dihormati dikalangan rakan, mempunyai ilmu dalam hal yang ditegur, yang lebih tua dari kita maka perlu dinilai kata-katanya sebaik mungkin.

4. Jawab teguran itu ketika rasional.

Jika teguran itu buat kita tersinggung, tunggu sehingga emosi reda baru balas/jelaskan.

5. Luah ketidakpuasan hati berkaitan teguran hanya pada orang yang dipercayai.

Jika tak dapat sangat tahan rasa tak puas hati, lepaskan pada sahabat karib yg boleh dipercayai saja.
Elakkan luah di FB atau pada orang yang salah.

Melalui pengalaman dan pemerhatian...sikap berhati-hati dan berfikir dulu sebelum berkata-kata adalah sangat penting.

Ada orang kata dia boleh terima teguran tapi bila ditegur mesti dia melenting....hehe jadi disinilah amat penting sekali skill menahan/mengawal perasaan atau dengan kata ringkasnya SABAR!

Sabar itu tidak mudah tapi hasilnya Indah.... :)

Terima teguran, baiki diri dan terus maju!


Mode: Menegur diri sendiri

Mar 22, 2012

Kerana aku Percaya

Mereka bertanya tentangmu

Apa saja yang ku tahu

Tetap tidak mampu

Memberikan mereka jawapan

Kerana aku tiada dalam hidupmu

Mereka berkata tentangmu

Apa saja yang ku dengar

Tetap tidak mampu

Menerima kejian umpatan

Kerana aku tiada dalam hidupmu

Mereka tak memahami

Jika aku tiada dalam hidupmu

Mengapa aku percayakanmu?

Jika aku tak mengenali siapa dirimu

Mengapa aku pertahankanmu?

Aku tak minta dimengerti

kerana aku percaya

Baiknya manusia bukan kerana banyak pahala

Selagi masih terbuka gerbang maksiat

Jahatnya manusia bukan kerana banyak dosa

Selagi belum tertutup pintu taubat

Segalanya mungkin


Lalu siapa mereka dan aku untuk menghukummu?


Sebelum berkata buruk tentang orang lain, fikirkan ke mana kesan kata-kata itu akan membawa kita nanti?. Ucapkan kata-kata yang baik semoga perkara yang baik juga kembali pada kita.


Jan 5, 2012

Cuti-cuti di Kampung


Alhamdulillah...dimurahkan rezeki kelapangan masa & kesihatan diri dapat pulang ke rumah keluarga.

Tak ada saat yang paling membahagiakan selain dapat bersama kedua-dua orang tua kita. Terlalu jauh dan lama merantau menjadikan ia saat-saat yang sangat dinantikan setiap hari.
Dah naik pangkat yea dulu setiap minggu nampaknya semangat untuk merantau semakin lama semakin surut. Kena cari pemangkin nampaknya nih?? hehe..

Sepuluh hari bercuti (termasuk hujung minggu tau!) lemau rasanya nak datang kerja semula. Malasnya Allah saja yang tahu. Tapi sampai jugalah ke tanah Johor ni dengan semangat yang lesu. Emm bukan permulaan yang baik! ish...ish

Jadual cuti 10 hari tu memang penuh, yang betul-betul berehat kat rumah 2 hari je rasanya. Perjalanan pulang pun dah diduga...entah malaun mana yang hantar barang-barang terlarang melalui khidmat pos bas ekspress. Tak pasal-pasal menyusahkan semua penumpang bas terpaksa ke pejabat kastam dahulu.

Nasib baik abang saya kerja di Terengganu jadi dapatlah minta tolong kakak ipar dan adiknya datang ambil. Nasib baik lagi adik kakak ipar pun bercadang untuk balik ke KB pada pagi itu. Tidak Allah berikan kesusahan jika tidak ada jalan
keluarnya...Alhamdulillah selamat sampai ke rumah ibuabah jam 3 ptg selepas sempat memborong keropok lekor dahulu.

Terpegun sekejap melihat bilik baru...luas terbentang ruangnya.
Terharu sekejap bila abah tolong sapukan lantai dan kemaskan cadar baru sambut kepulangan anak gadis tua dia nih.
Sampai mati pun saya tetap anak kecil abah kan huhu...

Sempat berborak sekejap dengan ibu, abah dan Billa sebelum melelapkan mata (walaupun dah nak senja) penat woo. Baru nak lelap, tersedar semula sebab abah masuk ke bilik bawakan kipas berdiri dan hidupkan. Lagi ler mata ni susah nak buka..

Terharu lagi walaupun mata memang tak boleh buka dah. Berterima kasih kat abah dalam hati je.

Walaupun abah saya garang tapi dalam hati ada taman hihi...

Hari kedua: Membeli-belah di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang

Singgah Solat Asar di Masjid Beijing dalam perjalanan pulang...

Ijat bergaya berlatarkan Masjid Beijing....