Nov 27, 2012

Abah telah Pergi untuk selama-lamanya...


11/11/2012, 6.45 pagi...inilah hari dan waktu berpisahnya aku dan abah tersayang di dunia ini.

Sekelip mata aku kehilangan seorang lelaki yang sangat penting dalam hidupku. Lelaki yang banyak berkorban untuk aku dan adik-beradikku.

Baru malam tadi aku sempat berbicara bertanya khabar tentang kesihatannya. Katanya sakit dada dah berkurang, pagi tadi dah berjumpa dan ambil ubat dari doktor yang juga merupakan sahabat lamanya. Malam Sabtu dia mula mengadu sakit dada dan muntah....tetiba pagi Ahad dia telah pergi untuk selama-lamanya.

Terlalu sukar untuk dipercayai sehinggalah aku melihat sendiri batang tubuh yang sangat aku sayangi terbujur kaku menunggu aku dan 2 lagi adikku tiba sebelum ditutup wajahnya dan disembahyangkan.

Maafkan kami kerana mementingkan diri membiarkan jasad abah menunggu sehingga ke petang. Aku mahu menatap wajah abah untuk kali terakhir kerana aku takut aku tak mampu menyakinkan diri yang abah benar-benar telah tiada.     

Aku tatap wajah tenang seumpama sedang lena, aku sentuh wajah yang amat aku takuti ketika kecil. Sejuk pipinya ku usap dan aku bisikan kata-kata terakhir untuknya...aku tahu dia mendengar....itu kali terakhir aku dapat mengucup pipi dan dahinya....

Ya Allah, kau ampunilah dosa-dosa abahku, tempatkan dia dikalangan hamba-hamba-Mu yang beriman. Kau lapang dan terangilah liang lahadnya. Damaikanlah dia disana...


Ya Allah, kau jadikanlah aku dan adik-beradikku anak-anak yang soleh dan solehah dan janganlah kau bebankan dosa-dosa kami ke atas kedua orang tua kami.  

Al- Fatihah...

Sehingga ke saat ini ada masa aku merasakan seolah-olah abah masih ada bersama kami. Segala kebiasaan dan tingkahnya masih terbayang di depan mata. 

Allah telah meminjamkan kepada kami sekeluarga seorang abah dan ketua keluarga yang penyayang dan sangat baik dengan caranya sendiri. 

Walaupun terkilan tidak banyak yang sempat aku lakukan untuk membalas jasa dan pengorbanan abah tapi aku redha dengan ketentuan-Nya. 

Moga Allah bimbing aku menjadi anak yang solehah supaya tidak terputus hubunganku dan abah disana. 

Shaban bin Mohd Wazai akan tetap hidup dalam diri dan ingatan kami selama-lamanya...
Semoga Allah pertemukan kita semula di Syurga-Nya nanti....

Amin...

Nov 5, 2012

Cerita kita & Cerita Orang

Oleh kerana sekarang aku suka layan cerita Korea jadi aku nak kongsi sedikit perbandingan 'rasa' tonton cerita Korea dan cerita tempatan.

Biasanya aku akan pilih drama/filem berdasarkan 3 sebab utama iaitu hero, heroin dan jalan cerita. 

Flownya mula-mula aku akan tengok adakah heronya adalah Lee Seung Gi, Cha Seung Won, Lee Dong Wok, Kim Hyun Joong, Hyun Bin, Jang Keun Suk, Daniel Choi, Lee Min Ho atau Daniel Henney. Setakat ini aku dah tonton lebih dari 2 drama/filem lakonan setiap mereka dan aku rasa mereka pelakon yang berbakat bukan bersandar pada rupa semata-mata.

Begitu juga dengan heroinnya. Kalau dia adalah Yoon Eun-hye, Jang Nara, Eugene, Kim Sun Ah, Song Hye Kyo, Ha Ji Won, Shin Min Ah atau Lee Yo-Won memang mantap. 

Kemudian baca pula jalan ceritanya bagaimana, kalau rasa menarik baru aku akan tengok. Tapi kalau bukan pelakon-pelakon favourite biasanya aku akan refer pada jalan cerita. 

Setakat ini aku dah tonton hampir 30 buah drama dan filem Korea dari genre yang berbeza antaranya berunsur romantik, komedi, thriller, kekeluargaan, hantu, politik dan sejarah.   

Tak silap cerita pertama yang aku tengok adalah Winter Sonata dikeluarkan pada tahun 2002. Tetapi aku mula berminat ikuti bermula 6 tahun lepas cuma sejak ada officemate yang mempunyai koleksi drama/filem Korea dan access internet, drama/filem Korea ni dah jadi 'makanan' harian aku hehehe... 

Mungkin kerana aku dah muak tonton drama/filem Melayu. Sejak aku kecil sampai sekarang isunya sama saja, kalau berubah mungkin pelakon, wardrobe & lokasi. 

Boleh muntah hijau dengan sajian yang sama gaya korporat yang tak korporat macam orang Malaysia,  Melayu terutamanya kaya-kaya belaka. 

Bila buat cerita Islamik pula isu yang dibawa lebih banyak menceritakan kelemahan Islam. Hal poligami, hal keruntuhan akhlak dan banyak lagi isu yang dikupas dari persepektif yang bila tengok buat aku rasa sakit hati. Paling geram Islamiknya sekerat jalan...adoyaiiii....boleh jadi ajaran sesat kalau salah tafsiran.

Kalau nak tengok yang 'rupa' Melayu sikit selalunya ditayang di TV1 atau TV2. 

Seperti biasa konsepnya yang baik dibalas baik tapi pasti akan ditindas dulu sebelum berjaya dan yang jahat pastinya akan tumpas...cerita-cerita begini aku sudah tonton dari zaman hingusan lagi. Bukan nak kata tiada yang bagus tapi susah nak jumpa.

Bila aku tengok cerita Korea memang ada adegan yang buat aku tertanya-tanya dan rasa tidak selesa tetapi kerana latar budaya yang berbeza membuatkan aku mudah untuk let go rasa tidak puas hati itu. 

Kalau ada babak cium ke peluk-peluk ke tak ada le menganggu emosi sebab mereka bukan Islam tetapi bila tengok cerita Melayu yang pelakonnya Islam tetapi berpeluk-peluk, cium pipi/dahi sikit-sikit hish tak boleh terima.

Apa yang aku perasan drama kita lebih banyak menonjolkan gaya hidup barat. Kita dimomokkan dengan konsep kemodenan datang dari barat jadi semua kena ikut barat dari segi pakaian, percakapan dan gaya hidup. Adegan umat Islam mabuk dan terkinja-kinja dalam disko bukan satu perkara yang pelik lagi. 

Paling pelik mentaliti pembikin filem yang kononya buat filem macam bohsia dan rempit dengan alasan untuk memberi pengajaran. Berapa kerat sangat yang dapat 'hidayah' lepas tonton drama/filem, paling kurang terkesan dua tiga hari lepas tu dah lupa. Berapa banyak pula yang mudah mengikut aksi/dialog tidak baik dalam drama/filem begitu. Bak kata Nabil, "Lu fikir le sendiri!"...

Apa yang aku perasan dalam drama/filem Korea susah nak cari mereka speaking orang putih kecuali kalau ada keperluan contohnya mereka pergi melancong ke luar negara atau perlu berkomunikasi dengan bangsa asing.  

Mereka juga banyak tonjolkan adegan watak utama/tambahan menaiki pengangkutan awam seperti bas dan teksi. Kalau yang ada kereta pun disebabkan status yang tinggi dalam masyarakat atau ahli perniagaan yang berjaya. Banyak kali terjumpa adegan watak-watak dalam drama/filem yang excited bila dapat pergi ke tempat-tempat menarik di negara sendiri.

Aku pun tak tahu kalau memang ada perjanjian antara produksi dengan pihak kementerian pelancongan di sana tetapi kebanyakan drama akan ada scene yang akan fokus pada pemandangan sekeliling. Aku tak pandai le nak guna perkataan-perkataan berkaitan shooting ni tapi yang aku nampak 'gaya mereka fokuskan' setiap scene itu memang berbeza dengan drama/filem kita. Nanti aku cari rujukan sikit apa nama teknik yang boleh sharp & blurkan fokus tu hehehe...

Ini susahnya nak bercerita tapi tak ada maklumat tepat nanti maksud tak kesampaian.

Setiap yang baik pasti ada juga kekurangannya tapi bagi drama/filem Korea, kekurangan itu dalam bentuk kelebihan dalam paparan aksi intim yang boleh diklasifikasikan sebagai melampau.

Terkejut aku tengok ops tertengok sebenarnya masa cari drama yang ada subtitle English di YouTube. Ada rasa terkilan juga sebab hero yang aku suka dulu pun berlakon cerita macam tu so sekarang namanya dah digugurkan dari senarai favourite. Macam respect pada pelakon tersebut dah hilang...

Aku rasa walaupun perkara-perkara sensual itu fitrah tetapi tidak sesuai ditayangkan pada umum. Pengarah yang kreatif pasti dapat deliver maksud tanpa paparkan adegan secara nyata.

Antara drama & filem yang masuk senarai kesukaan (definisi kesukaan = boleh tengok ulang-ulang & feel masih sama macam tengok 1st time) aku adalah:-

Its Okay Daddy's Girl (drama 17 ep) - tak ada seorang pun pelakon fovaurite aku tapi jalan ceritanya best buat aku menangis dan rasa macam nak balik peluk family aku huhuhu... 

Chilling Romance (filem genre  Seram + kelakar) - jalan cerita yang best tetapi mungkin kurang sesuai buat yang ada lemah jantung 

My Girlfriend is a Gumiho (drama 16 ep) - berdasarkan cerita dongeng zaman dulu kala memang menarik ada romance, comedy & fantasi. Lepas tengok cerita ni terus jatuh cinta sekejap dengan No Min Wo hohoho.... 

City Hall (drama 20 ep) - bertemakan romantik dan berlatarkan perjuangan politik di sebuah bandar kecil. Gandingan mantap Cha Seung Won & Kim Sun Ah. 

Aku kongsikan dulu 4 drama/filem ini (dalam setahun ini aku aku baru tengok), yang lama-lama kena check balik dah lupa tajuk hahaha....

Oh sebut pasal Cha Seung Won, aku nak kongsikan sedikit kejadian yang menimpa aku disebabkan aktor ini. Chewah macam kenal-kenal aje kan....hahaha...

Bukan begitu, ceritanya macam ini....Hana (officemate) cadangkan aku tengok cerita The Greatest Love lakonan Seung Won & Hyo Jin

Seung Won (lelaki yang duduk tu, incase korang tak kenal - credit gambar: wikipedia )

Bila aku tengok episod 1 aku rasa Seung Won tu tak hensem (bukan taste aku ler)...terus rasa tak nak tengok. Tapi cara Hana cerita macam drama ni best gile so aku teruskan juga tonton. Habis saja episod 2 aku rasa  aku dah jatuh suka pada Seung Won ni. Serentak dengan itu juga tetiba aku nampak Seung Won ni hensem pulak. Padahal sama saja penampilannya tiada yang berubah pun. 

Pelik tapi benar dan aku simpulkan kejadian ini dengan satu rumusan. Karektor dan sikap memainkan peranan penting dalam menonjolkan imej/penampilan seseorang. Haha sekarang aku faham kenapa perempuan cantik boleh jatuh cinta dengan lelaki yang kurang hensem walaupun tak berpangkat besar. 
Boleh?? :) 

Oh lupa, kalau yang suka cerita romantik remaja yang jiwang-jiwang boleh tengok You're Beautiful, Heartstrings, Princess Hour, Coffee Prince dan drama terbaru boleh tengok dekat epdrama, dramacrazy or mysoju.

Menunggu bila drama kita akan menjadi hebat & lebih berjiwa dari sekarang....

Oct 31, 2012

Bukan di Neraka-Mu

Telah ku lihat keindahan ciptaan
Telah ku dengar takbir pujian
Talah ku tahu besar kurniaan
Telah ku baca kitab kebenaran
Tinggalan buat umat pengakhiran

Hakikat ini ku sedari
Tiada nilai tanpa iman dalam hati
Tiada harga tanpa taqwa dalam diri

Namun mengapa seringkali
Mudah mengingkari perintah Ilahi
Payah sekali bertasbih berzikir memuji
Lalai mengingati perhentian abadi

Ketika sedar sujud melafaz janji
Tak ingin memungkiri
Ketika insaf datang menghampiri
Tak ingin mengulangi lagi
Sukar meraih istiqamah pejuangan ini

Ya Rahman...Ya Rahim
Sinarilah hati ini dengan cahaya-Mu
Terangilah jiwa ini dengan hidayah-Mu
Selimutilah kalbu ini dengan cinta-Mu
Moga perjalanan akhirku bukan di Neraka-Mu


Nukilan: TgNa Shabana

Oct 23, 2012

Subjek kehidupan - Hebat


Makin lama aku rasa hidup ini sangat amazing...

Walaupun status aku tak banyak berubah kecuali setiap tahun semakin tua dan tua...


walaupun tak makin kaya....

walaupun kerja pangkat tak tinggi...
tapi aku masih rasa hebat...

hahaha perasankah?


Aku rasa Pencipta aku sangat2 hebat...

Entah kenapa aku mula nampak setiap apa yang terjadi pada aku setiap hari adalah sangat menarik...

Aku mula melihat setiap perkara dari sisi yang berbeza...

Aku rasa mata aku terbuka luas...
Aku rasa otak aku berpusing...
dah macam satelit dah...

Setiap masalah yang aku nampak, dengar dan datang pada aku 

walaupun buat aku sakit kepala dan stress 
tetapi aku gembira....
gembira kerana aku masih hidup
gembira kerana aku masih dapat berfikir
gembira kerana aku masih dapat merasai
setiap rasa yang dianugerahkan Allah

Bila aku dengar talk Allahyarham Sheikh Ahmed Deedat, Dr Zakir Naik & Sheikh Yusuf Estes aku makin kagum.


Ya Allah...besarnya kurniaan-Mu pada mereka. Aku rasa aku tak mampu jadi seperti mereka tetapi aku harap aku dapat memahami apa yang mereka katakan. 


Macam mana mereka boleh ingat dan faham kemudian terangkan dengan mudah.


Allahuakbar...


TRW kebanggaan Kelantan....Tahniah!


Alhamdulillah.... :) 

Akhirnya TRW berjaya menewaskan ATM dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2012...

                                             credit gambar ni pada sinar harian...

Namun kegembiraan tidak datang dengan mudah, perlawanan yang berlarutan sehingga 124 minit itu memang mendebarkan. Rasa macam nak tercabut jantung menunggu tiupan wisel penamat, 4 minit terakhir tu asal ATM attack saja tutup mata hahaha tak tahan debaran nak tengok!!!!

Syabas juga untuk ATM yang membuatkan aku tak senang duduk, sampai ke saat terakhir mereka berjuang memang bagus betul semangat mereka. Ini baru dinamakan semangat kesukanan walaupun hampir-hampir ada insiden pergaduhan tetapi aku nampak rakan-rakan kedua-dua pasukan berjaya menenangkan sahabat mereka.

Aku rasa itu normal apabila berada dalam keadaan genting dan tekanan memburu kejuaraan untuk pasukan masing-masing.

Dalam cuak tu teringat abah kat kampung, selalunya kalau Kelate masuk final mana-mana Piala mesti abah & anak2 lelakinya akan plan pergi tengok kat stadium. Tapi kali ini cute giler masa semi final kedua aku tanya abah kalau Kelate dapat masuk abah nak gi tengok kat stadium ke. Abah jawab tak nak sebab dia kenalen. [Kenalen = berdebar]

Dalam gelak tu aku risau juga sebab umur abah dah masuk 58 tahun ada kemungkinan jantungnya dah tak sekuat dulu. Jadi kali ini kami tak beria pujuk abah pergi sebab bimbang kalau tekanan melihat perlawanan tersebut boleh memberi impak negatif kepada kesihatannya. 

Tetapi alhamdulillah rezeki berpihak kepada Kelantan tahun ini bagi melengkapkan misi treble 2012. 
Gol-gol yang telah disempurnakan oleh Mat Yo & Indra telah membawa kegemilangan buat Kelantan. 
Terima kasih korang!!!! huh cakap luar hehehe...

Usai perlawanan terus telefon abah kongsi kegembiraan...lega dengar abah gelak besar.

Walaupun tahun ini cuma Aril sorang saja wakil keluarga kami yang sampai ke stadium Shah Alam tapi kemeriahannya tetap sampai ke hati apabila mendengar suara2 penyokong Kelate. 

                                              Aril -Nasib baik dah tukar kerja kat SA

Dapat dibayangkan kemeriahan di stadium, teringat kenangan menjadi saksi kekalahan dan kemenangan TRW pada tahun 2009 & 2010...memang tak dapat dilupakan.

Apa yang sama adalah kehadiran puluhan ribu penyokong TRW yang datang dengan pelbagai ragam. Sungguh menghiburkan terutama apabila sampai ke stadium keluar saja dari tren disambut dengan tepukan gemuruh dari penyokong2 yang telah tiba lebih awal. 

Terasa seperti berada di Kelantan bila di dalam tren terdengar usikan-usikan nakal dari ore-ore Kelate yang mengenakan kawan2 yang baru pertama kali naik tren. Ada yang konon cuba 'cakap luar'  teruk dijadikan bahan gelak yang lain.

Bila sampai ke setiap station masing2 gembira bila nampak penyokong TRW lain dan saling menegur. Begitulah semangat kenegerian yang telah diterapkan dalam diri setiap anak Kelantan. Kita semua adalah saudara jadi kenal-tak kenal bukan masalah. 

Suasana di perkarangan stadium pula meriah dengan ribuan penonton dan gerai2 yang terusun elok. Cuma apa yang tak seronok adalah kekurangan kemudahan di stadium. Pengalaman 3 kali (sekali final Piala FA) di Stadium Bukit Jalil memang mendukacitakan. 

Rasanya pihak pengurusan sudah banyak kali melalui pengalaman final dan sudah tentu dapat mengagak bilangan penonton yang akan hadir. Sayangnya pengalaman tersebut tidak dapat membantu meningkatkan tahap pengurusan penganjuran. 

Tong sampah yang disediakan tidak banyak, jika lebih banyak tong sampah disediakan mungkin dapat mengurangkan sampah-sarap yang bertaburan. Tong sampah patut diletakkan dalam jarak yang berdekatan dengan tempat penonton berkumpul dan dalam bilangan yang lebih banyak supaya dapat menampung keperluan bilangan yang hadir. 

Jika yang hadir puluhan ribu tetapi nak cari tong sampah pun susah macam mana? Jangan salahkan penonton saja. 

Lagi satu yang rasanya tidak padan dengan harga tiket adalah kemudahan di tandas. Dua kali berpengalaman tiada air dalam tandas dan kawasan tandas ditakungi air. Jika kemudahan yang disediakan setara dengan harga tiket mungkin penonton tidak akan merungut.

Tahun ini yang kelakar pada pandangan aku ketika sidang media sebelum perlawanan. Adoii taraf Piala Malaysia yang konon berprestij tu taraf atas kerusi je ke?

Macam ala kadar 'asal ada' saja tempat sidang media tu. Macam mana nak jadi macam EPL. Meja jamuan dekat pejabat aku lagi grand dari tu.

Hadiah untuk sharp shooter & best palayer pun alahai....main untuk satu musim dapat TV LCD & RM1500 saja?

Tak apalah tak nak spoil mood happy cerita menda tak best kan...

Walaupun tak pandai sangat nak pasal bola ni tapi aku pun ada harapan nak tengok Kapten TRW, pujaan hati adik bongsu aku si Ijat yang istimewa tu untuk menyarungkan jersi kebangsaan. Bila agaknya terbuka pintu hati Mr King nak panggil Piya wakili negara ya....

Ini gambar kenangan first time Ijat & abang Nazlinya jumpa Piya...terima kasih Piya sebab sudi layan budak ghemok ni...balik rumah sengih memanjang hahaha....


Ini pula hadiah yang disediakan oleh abang aku yang juga merupakan peminat setia TRW...macam-macam ragamkan kalau dah minat.


Sekali lagi tahniah buat TRW kerana berjaya menyempurnakan misi membawa pulang Piala ke-3 ke KB. Penghargaan juga kepada jurulatih & pembantu2nya serta pihak pengurusan yang bekerja keras menaikkan mutu bolasepak Kelate.

Tidak lupa kepada kerajaan negeri terutama TGNA yang sentiasa mendoakan kejayaan serta mengingatkan keselamatan serta kesejahteraan rakyat ketika perjalanan pergi-balik ke stadium. Kesanggupan memberikan cuti kerana memikirkan keselamatan rakyat serta pertimbangan ganjaran atas budi pahlawan merah menunjukkan kerajaan juga sentiasa menyokong TRW....

GOMO KELATE GOMO!!

Oct 19, 2012

SERUAN BUAT ANAK BANGSA


Anak-anak bangsaku
Lenamu terlalu panjang 
Jagamu tidak ketentuan
Fikirmu tidak keruan

Anak-anak bangsaku

Bangkitlah dari lena
Sedarlah dalam jaga
Bukalah mata dan minda

Anak-anak bangsaku

kita disini bukan boneka
kita adalah bangsa merdeka 
yang hidup dengan jiwa mekar

Anak-anak bangsaku

Benar, warisan kita kental
Benar, semangat kita kebal
Namun sejarah juga punya sesal

Ingatlah 

Wahai anak-anak bangsaku
Jangan diroboh rumah pusaka
Jangan dibuang pegangan agama
Jangan diludah sejarah yang lama
kerana adanya bangsa 'ternama'

Sebangsa, Senegara, Sejiwa....Malaysiaku



Nukilan: TgNa Shabana  


Oct 10, 2012

Realiti memilih


Hidup ini realiti maka pilihan mesti berdasarkan realiti....

Realitinya kalau kita susah kita yang menanggungnya, tak ramai yang akan datang dengan gembira nak pikul beban kita kecuali orang yang sayang dan ambil berat pada kita.

Yang tak peduli tu pun bukan bermakna dia jahat tetapi sebab dia pun ada beban sendiri yang perlu dipikul dan ada orang lain yang lebih perlu diberi perhatian.

Jadi jangan mudah melatah menuduh orang tanpa usul periksa. Bersangka baik itu salah satu sifat yang terpuji.

Kita pergi ke skop lebih luas, pilihan yang paling hot sekarang adalah pilihanraya hehe...ok serius!

Walaupun dah didedahkan dengan 'dunia politik' sejak kecil tetapi aku lebih banyak belajar dari pemerhatian dan juga mendengar dari mereka-mereka yang paling aku percayai dalam dunia ini.

Jangan buat kesimpulan dulu, jika ditambahkan faktor-faktor salah faham, maklumat tidak tepat, kesilapan komunikasi dan lain-lain atas kelemahan manusia maka boleh jadi segala pemerhatian dan apa yang aku dengar itu ada kemungkinan bukan 100% benar.

Jika nampak dua orang bergaduh tetapi tidak nampak mereka berbaik, pastinya aku akan cakap mereka bergaduh. Kalau dengar orang cakap mereka dah berbaik mesti ada rasa ragu-ragu nak percaya sebabnya aku nampak tahap pergaduhan mereka dan tak nampak mereka berbaik. 

Masa itu kita akan ikut pemikiran dan pengalaman untuk menentukan adakah logik jika mereka berbaik semula dan pada aku ini adalah normal sebabnya manusia memang lebih mudah percaya dengan apa yang mereka lihat dari dengar. 

Memang sukar hendak membuat pilihan terutama jika kita tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang pilihan yang ada.

Bukan lagi rahsia bahawa media utama di Malaysia ini memang berat-sebelah. Nasib baik zaman sekarang maklumat dihujung jari jadi kena pandai-pandai cari dan tapis maklumat. 

Macam mana nak tapis itu bergantung kepada kebijaksanaan sendiri le kan...

Masa mula-mula mengundi dulu memang sesuka hati je pilih...teringat lagi time tu konon adil bagi sorang satu haha...

kemudian bila dah terbuka minda mula memahami tanggungjawab memilih pemimpin mengikut pandangan Islam maka mula buat satu keputusan. 

Islam ada guideline ciri-ciri pemimpin yang baik, adil dan bertanggungjawab. 
Jadi tugas kita sekarang adalah memahami tuntutan tersebut dan buat penilaian, pemimpin yang mana paling banyak memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan. 

Apa ciri-cirinya? haaa pergi cari sendiri ya jangan asyik nak kena suap jer haha...

Aku rasa paling utama bukan parti mana tapi ketua parti mana, sebab kepala ini yang penting. 

Kalau kepala pening apa kerja pun tak jadi. Walaupun hati semangat nak kerja tapi kepala pening kalau kerja siap pun mungkin tak sebagus ketika kepala tak pening kan...

Ada juga aku dengar cakap-cakap...dekat Malaysia ini tak ada pemimpin yang betul-betul mencontohi Rasulullah s.a.w. susahlah....

Pada aku cakap-cakap sebegitu tidak memberi manfaat sebab ia tak menyelesaikan masalah pun. 

Kalau tak ada yang betul-betul maka pilihlah yang mana paling dekat dengan yang betul-betul tu....

Teringat pula dekat ex-Dean aku, peluang 2 tahun bekerja dibawah beliau aku paling kagum dengan cara fikir dan ketenangan beliau dalam menghadapi masalah. 

Apa yang penting cari jalan untuk selesaikan masalah bukan cari salah siapa tapi pada masa yang sama masih mampu mendengar keluhan orang-orang bawahannya dengan tenang. Aku rasa itu moral support yang bagus. 

Pemimpin yang baik & bertanggungjawab akan sentiasa dikenang dan didoakan yang baik-baik untuk mereka.

Ok, secara mudah kesimpulannya buatlah pilihan berdasarkan sumber dan penilaian yang tepat. Bukan sekadar dengar cakap-cakap orang saja....

Eh eh jap emm tapi kan bukan pemimpin je yang kena mencontohi Rasulullah s.a.w tapi semua umat Islam pun perlu contohi keperibadian baginda jugakan??

Just ingatkan kot lupa....asyik tuding jari kat orang lupa pandang diri sendiri....