Jan 26, 2013

Nilai sebaris Ayat....


Seperti biasa bila ada kesempatan aku pasti akan membaca dan jika ada mood update status di FB...

Kesempatan selalunya datang bila hari bekerja sebab rumah sewa aku tak ada talian internet....
Oh kalau ada update masa hujung minggu, itu tandanya aku ada di kampung hehehe contohnya hari ini!!

Alangkah indahnya hidup bila dapat bersama keluarga tersayang walaupun keluarga kami sudah tidak lengkap tanpa Abah disisi. 

Hanya Allah yang tahu betapa rindunya kami hendak melihat wajah dan mendengar suara arwah Abah.
Orang pernah kata kalau rindu tengoklah gambar...

Rupanya rindu pada orang yang telah pergi untuk selama-lamanya tidak akan terubat dengan melihat gambar sebaliknya ia membuatkan rindu semakin bertambah. 

Bila tengok gambar, mula teringat kenangan-kenangan lama mula tamak berharap hendak mendengar suara, memanggil namanya...akhirnya tenggelam dalam tangisan.

Itulah yang aku alami, ada hari aku berjaya memotivasikan diri untuk tabah dan sabar. Ada hari aku teresak-esak menangis sambil melihat gambar arwah.

Suatu hari rutin biasa membaca post dan update kawan-kawan di FB, aku terbaca satu bingkisan nasihat petikan kata-kata dari seorang ilmuan yang dikongsikan...maaf aku lupa namanya dan ayat asalnya. 

Ada beberapa baris kata nasihat yang dicoretkan tetapi ada sebaris katanya yang menikam tepat ke hatiku.

Lebih kurang begini kata-katanya..."Kalau dengan orang yang telah tiada ibu/bapa janganlah kita berlebihan bercerita tentang ibu/bapa kita yang masih ada kerana mungkin akan membangkitkan kesedihan mereka".

Aku membacanya selepas ketiadaan Abah dan memang benar yang melalui pasti lebih memahaminya. Kata-kata itu membawa aku menoleh ke belakang, membaca semula cerita-cerita tentang ibu dan abah yang pernah aku kongsikan di laman FB dan di dada blog ini juga.

Benarkah ada hati insan-insan yang bersedih dan terluka kerana cerita-ceritaku?...
Jika ada, adakah Allah ambil Abah supaya aku tidak dapat lagi bercerita perkara-perkara yang bisa menyakiti hati-hati mereka?.


............أستغفر الله, أستغفر الله, أستغفر الله


Ampunilah aku Ya Allah, tidak bermaksud untuk buruk sangka terhadap-Mu!!
Sesungguhnya aku insan hina lagi jahil selalu hanyut dengan perasaan...

Tidak, Allah tidak akan sekali-kali menzalimi hamba-Nya. Allah tahu semua cerita itu bukan untuk menunjuk-nunjuk. Sebaliknya hanya ingin berkongsi rasa, moga ada orang lain turut dapat tersenyum dan mungkin mengambil iktibar dari kesannya.

Walaupun begitu aku akui, pada orang yang telah kehilangan sudut pandang mereka adalah berbeza.

Oleh itu aku ingin memohon ampun dan maaf jika ada yang terasa hati bila membaca kisah-kisah dilaman ini.
Atas kesedaran ini insya Allah aku akan lebih berhati-hati dalam mencoretkan rasa semoga tiada yang akan terluka dan bersedih lagi.

Terima kasih kepada insan sudi berkongsi dan yang memberi nasihat itu sehingga aku melihatnya.
Semoga Allah merahmati kamu dan keluargamu dengan keberkatan dan kemuliaan di dunia dan akhirat.

Dec 12, 2012

Doa buat Muslimin & Muslimat....

Terkesan....

Melihat penderitaan saudara-saudaraku di Syria, Palestin dan di seluruh pelusok dunia...

Mereka diuji dengan peperangan, kemusnahan, kematian yang bertimpa-timpa....

Kita pula mampu berkata patut bersyukur dengan kemakmuran Malaysia...

Ya, kita dikurniakan nikmat yang jika terleka bisa menjadi racun membunuh taqwa dan iman...
Mereka pula diberi kesakitan dan penderitaan yang bertukar menjadi ubat penguat iman dan taqwa...

Ujian buat mereka jua ujian buat kita...kerana kita adalah bersaudara.
Islam meyatukan kita atas dasar tauhid dan akidah.

Marilah sama-sama kita berdoa dan menghulurkan bantuan sedaya semampu boleh agar kemenangan milik Islam...hidup atau mati bukan ukuran kerana Allah lebih Mengetahui....

Ikhlaskan diri & bertawakallah.... الله اكبر

Hidup & Mati

Tanyakan pada hati
Tanyakan pada akal
Mengapa tidak sekata

Jawab dengan nafsu
Jawab dengan iman
Alasan pasti berbeza

Hidup sentiasa dipersimpangan
Tiada dapat lari dari pilihan
Ada masa pilihan menenangkan
Ada ketika pilihan menyeksakan

Mati bukan pilihan
Tanpa tarikh jemputan
Tanpa waktu ketibaan
Ia datang dengan kepastian
Bahawa dunia cuma persinggahan

Selamat tinggal saudara
Selamat tinggal teman
Mungkinkah ada peluang untuk diucapkan?


Nukilan: TgNa Shabana

Dec 11, 2012

Anuar Zain, Three Decades of Music, Love and Passion


Tahniah buat Anuar Zain sebab dah capai 3 dekad dan masih bertahan...

Masih maintain hensem walaupun dilemparkan dengan pelbagai andaian baik & buruk...

Semoga perancangan dan perjalanan konsert Anuar Zain, Three Decades of Music, Love and Passion pada 16 Feb 2013 jam 8.30 mlm di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur nanti akan berjalan dengan lancar & berjaya menghiburkan peminat & penggemar yang hadir.

Kali ini dapat bagi sokongan dengan cara war-warkan pasal konsert je la yea...

Jangan lupa keluarkan VCD konsert!

Ingatan untuk saudara-saudara perempuanku sekalian, walaupun excited dapat jumpa AZ jangan sampai terlebih batas yea...

Hormati diri dan AZ sebagai seorang muslim...

Selamat berhibur dengan cara yang diredhai...



Berita baik punya....

Special early bird discount for the first 1,000 tickets sold, 

between 12th till 19th December..... 


Beli tiket disini ----> www.ticketcharge.com.my (start 12/12/12)

Maklumat berkaitan konsert ini semua dari Official FB AZ....https://www.facebook.com/anuarzainnetwork 


Nov 27, 2012

Abah telah Pergi untuk selama-lamanya...


11/11/2012, 6.45 pagi...inilah hari dan waktu berpisahnya aku dan abah tersayang di dunia ini.

Sekelip mata aku kehilangan seorang lelaki yang sangat penting dalam hidupku. Lelaki yang banyak berkorban untuk aku dan adik-beradikku.

Baru malam tadi aku sempat berbicara bertanya khabar tentang kesihatannya. Katanya sakit dada dah berkurang, pagi tadi dah berjumpa dan ambil ubat dari doktor yang juga merupakan sahabat lamanya. Malam Sabtu dia mula mengadu sakit dada dan muntah....tetiba pagi Ahad dia telah pergi untuk selama-lamanya.

Terlalu sukar untuk dipercayai sehinggalah aku melihat sendiri batang tubuh yang sangat aku sayangi terbujur kaku menunggu aku dan 2 lagi adikku tiba sebelum ditutup wajahnya dan disembahyangkan.

Maafkan kami kerana mementingkan diri membiarkan jasad abah menunggu sehingga ke petang. Aku mahu menatap wajah abah untuk kali terakhir kerana aku takut aku tak mampu menyakinkan diri yang abah benar-benar telah tiada.     

Aku tatap wajah tenang seumpama sedang lena, aku sentuh wajah yang amat aku takuti ketika kecil. Sejuk pipinya ku usap dan aku bisikan kata-kata terakhir untuknya...aku tahu dia mendengar....itu kali terakhir aku dapat mengucup pipi dan dahinya....

Ya Allah, kau ampunilah dosa-dosa abahku, tempatkan dia dikalangan hamba-hamba-Mu yang beriman. Kau lapang dan terangilah liang lahadnya. Damaikanlah dia disana...


Ya Allah, kau jadikanlah aku dan adik-beradikku anak-anak yang soleh dan solehah dan janganlah kau bebankan dosa-dosa kami ke atas kedua orang tua kami.  

Al- Fatihah...

Sehingga ke saat ini ada masa aku merasakan seolah-olah abah masih ada bersama kami. Segala kebiasaan dan tingkahnya masih terbayang di depan mata. 

Allah telah meminjamkan kepada kami sekeluarga seorang abah dan ketua keluarga yang penyayang dan sangat baik dengan caranya sendiri. 

Walaupun terkilan tidak banyak yang sempat aku lakukan untuk membalas jasa dan pengorbanan abah tapi aku redha dengan ketentuan-Nya. 

Moga Allah bimbing aku menjadi anak yang solehah supaya tidak terputus hubunganku dan abah disana. 

Shaban bin Mohd Wazai akan tetap hidup dalam diri dan ingatan kami selama-lamanya...
Semoga Allah pertemukan kita semula di Syurga-Nya nanti....

Amin...

Nov 5, 2012

Cerita kita & Cerita Orang

Oleh kerana sekarang aku suka layan cerita Korea jadi aku nak kongsi sedikit perbandingan 'rasa' tonton cerita Korea dan cerita tempatan.

Biasanya aku akan pilih drama/filem berdasarkan 3 sebab utama iaitu hero, heroin dan jalan cerita. 

Flownya mula-mula aku akan tengok adakah heronya adalah Lee Seung Gi, Cha Seung Won, Lee Dong Wok, Kim Hyun Joong, Hyun Bin, Jang Keun Suk, Daniel Choi, Lee Min Ho atau Daniel Henney. Setakat ini aku dah tonton lebih dari 2 drama/filem lakonan setiap mereka dan aku rasa mereka pelakon yang berbakat bukan bersandar pada rupa semata-mata.

Begitu juga dengan heroinnya. Kalau dia adalah Yoon Eun-hye, Jang Nara, Eugene, Kim Sun Ah, Song Hye Kyo, Ha Ji Won, Shin Min Ah atau Lee Yo-Won memang mantap. 

Kemudian baca pula jalan ceritanya bagaimana, kalau rasa menarik baru aku akan tengok. Tapi kalau bukan pelakon-pelakon favourite biasanya aku akan refer pada jalan cerita. 

Setakat ini aku dah tonton hampir 30 buah drama dan filem Korea dari genre yang berbeza antaranya berunsur romantik, komedi, thriller, kekeluargaan, hantu, politik dan sejarah.   

Tak silap cerita pertama yang aku tengok adalah Winter Sonata dikeluarkan pada tahun 2002. Tetapi aku mula berminat ikuti bermula 6 tahun lepas cuma sejak ada officemate yang mempunyai koleksi drama/filem Korea dan access internet, drama/filem Korea ni dah jadi 'makanan' harian aku hehehe... 

Mungkin kerana aku dah muak tonton drama/filem Melayu. Sejak aku kecil sampai sekarang isunya sama saja, kalau berubah mungkin pelakon, wardrobe & lokasi. 

Boleh muntah hijau dengan sajian yang sama gaya korporat yang tak korporat macam orang Malaysia,  Melayu terutamanya kaya-kaya belaka. 

Bila buat cerita Islamik pula isu yang dibawa lebih banyak menceritakan kelemahan Islam. Hal poligami, hal keruntuhan akhlak dan banyak lagi isu yang dikupas dari persepektif yang bila tengok buat aku rasa sakit hati. Paling geram Islamiknya sekerat jalan...adoyaiiii....boleh jadi ajaran sesat kalau salah tafsiran.

Kalau nak tengok yang 'rupa' Melayu sikit selalunya ditayang di TV1 atau TV2. 

Seperti biasa konsepnya yang baik dibalas baik tapi pasti akan ditindas dulu sebelum berjaya dan yang jahat pastinya akan tumpas...cerita-cerita begini aku sudah tonton dari zaman hingusan lagi. Bukan nak kata tiada yang bagus tapi susah nak jumpa.

Bila aku tengok cerita Korea memang ada adegan yang buat aku tertanya-tanya dan rasa tidak selesa tetapi kerana latar budaya yang berbeza membuatkan aku mudah untuk let go rasa tidak puas hati itu. 

Kalau ada babak cium ke peluk-peluk ke tak ada le menganggu emosi sebab mereka bukan Islam tetapi bila tengok cerita Melayu yang pelakonnya Islam tetapi berpeluk-peluk, cium pipi/dahi sikit-sikit hish tak boleh terima.

Apa yang aku perasan drama kita lebih banyak menonjolkan gaya hidup barat. Kita dimomokkan dengan konsep kemodenan datang dari barat jadi semua kena ikut barat dari segi pakaian, percakapan dan gaya hidup. Adegan umat Islam mabuk dan terkinja-kinja dalam disko bukan satu perkara yang pelik lagi. 

Paling pelik mentaliti pembikin filem yang kononya buat filem macam bohsia dan rempit dengan alasan untuk memberi pengajaran. Berapa kerat sangat yang dapat 'hidayah' lepas tonton drama/filem, paling kurang terkesan dua tiga hari lepas tu dah lupa. Berapa banyak pula yang mudah mengikut aksi/dialog tidak baik dalam drama/filem begitu. Bak kata Nabil, "Lu fikir le sendiri!"...

Apa yang aku perasan dalam drama/filem Korea susah nak cari mereka speaking orang putih kecuali kalau ada keperluan contohnya mereka pergi melancong ke luar negara atau perlu berkomunikasi dengan bangsa asing.  

Mereka juga banyak tonjolkan adegan watak utama/tambahan menaiki pengangkutan awam seperti bas dan teksi. Kalau yang ada kereta pun disebabkan status yang tinggi dalam masyarakat atau ahli perniagaan yang berjaya. Banyak kali terjumpa adegan watak-watak dalam drama/filem yang excited bila dapat pergi ke tempat-tempat menarik di negara sendiri.

Aku pun tak tahu kalau memang ada perjanjian antara produksi dengan pihak kementerian pelancongan di sana tetapi kebanyakan drama akan ada scene yang akan fokus pada pemandangan sekeliling. Aku tak pandai le nak guna perkataan-perkataan berkaitan shooting ni tapi yang aku nampak 'gaya mereka fokuskan' setiap scene itu memang berbeza dengan drama/filem kita. Nanti aku cari rujukan sikit apa nama teknik yang boleh sharp & blurkan fokus tu hehehe...

Ini susahnya nak bercerita tapi tak ada maklumat tepat nanti maksud tak kesampaian.

Setiap yang baik pasti ada juga kekurangannya tapi bagi drama/filem Korea, kekurangan itu dalam bentuk kelebihan dalam paparan aksi intim yang boleh diklasifikasikan sebagai melampau.

Terkejut aku tengok ops tertengok sebenarnya masa cari drama yang ada subtitle English di YouTube. Ada rasa terkilan juga sebab hero yang aku suka dulu pun berlakon cerita macam tu so sekarang namanya dah digugurkan dari senarai favourite. Macam respect pada pelakon tersebut dah hilang...

Aku rasa walaupun perkara-perkara sensual itu fitrah tetapi tidak sesuai ditayangkan pada umum. Pengarah yang kreatif pasti dapat deliver maksud tanpa paparkan adegan secara nyata.

Antara drama & filem yang masuk senarai kesukaan (definisi kesukaan = boleh tengok ulang-ulang & feel masih sama macam tengok 1st time) aku adalah:-

Its Okay Daddy's Girl (drama 17 ep) - tak ada seorang pun pelakon fovaurite aku tapi jalan ceritanya best buat aku menangis dan rasa macam nak balik peluk family aku huhuhu... 

Chilling Romance (filem genre  Seram + kelakar) - jalan cerita yang best tetapi mungkin kurang sesuai buat yang ada lemah jantung 

My Girlfriend is a Gumiho (drama 16 ep) - berdasarkan cerita dongeng zaman dulu kala memang menarik ada romance, comedy & fantasi. Lepas tengok cerita ni terus jatuh cinta sekejap dengan No Min Wo hohoho.... 

City Hall (drama 20 ep) - bertemakan romantik dan berlatarkan perjuangan politik di sebuah bandar kecil. Gandingan mantap Cha Seung Won & Kim Sun Ah. 

Aku kongsikan dulu 4 drama/filem ini (dalam setahun ini aku aku baru tengok), yang lama-lama kena check balik dah lupa tajuk hahaha....

Oh sebut pasal Cha Seung Won, aku nak kongsikan sedikit kejadian yang menimpa aku disebabkan aktor ini. Chewah macam kenal-kenal aje kan....hahaha...

Bukan begitu, ceritanya macam ini....Hana (officemate) cadangkan aku tengok cerita The Greatest Love lakonan Seung Won & Hyo Jin

Seung Won (lelaki yang duduk tu, incase korang tak kenal - credit gambar: wikipedia )

Bila aku tengok episod 1 aku rasa Seung Won tu tak hensem (bukan taste aku ler)...terus rasa tak nak tengok. Tapi cara Hana cerita macam drama ni best gile so aku teruskan juga tonton. Habis saja episod 2 aku rasa  aku dah jatuh suka pada Seung Won ni. Serentak dengan itu juga tetiba aku nampak Seung Won ni hensem pulak. Padahal sama saja penampilannya tiada yang berubah pun. 

Pelik tapi benar dan aku simpulkan kejadian ini dengan satu rumusan. Karektor dan sikap memainkan peranan penting dalam menonjolkan imej/penampilan seseorang. Haha sekarang aku faham kenapa perempuan cantik boleh jatuh cinta dengan lelaki yang kurang hensem walaupun tak berpangkat besar. 
Boleh?? :) 

Oh lupa, kalau yang suka cerita romantik remaja yang jiwang-jiwang boleh tengok You're Beautiful, Heartstrings, Princess Hour, Coffee Prince dan drama terbaru boleh tengok dekat epdrama, dramacrazy or mysoju.

Menunggu bila drama kita akan menjadi hebat & lebih berjiwa dari sekarang....

Oct 31, 2012

Bukan di Neraka-Mu

Telah ku lihat keindahan ciptaan
Telah ku dengar takbir pujian
Talah ku tahu besar kurniaan
Telah ku baca kitab kebenaran
Tinggalan buat umat pengakhiran

Hakikat ini ku sedari
Tiada nilai tanpa iman dalam hati
Tiada harga tanpa taqwa dalam diri

Namun mengapa seringkali
Mudah mengingkari perintah Ilahi
Payah sekali bertasbih berzikir memuji
Lalai mengingati perhentian abadi

Ketika sedar sujud melafaz janji
Tak ingin memungkiri
Ketika insaf datang menghampiri
Tak ingin mengulangi lagi
Sukar meraih istiqamah pejuangan ini

Ya Rahman...Ya Rahim
Sinarilah hati ini dengan cahaya-Mu
Terangilah jiwa ini dengan hidayah-Mu
Selimutilah kalbu ini dengan cinta-Mu
Moga perjalanan akhirku bukan di Neraka-Mu


Nukilan: TgNa Shabana