Nov 27, 2012

Abah telah Pergi untuk selama-lamanya...


11/11/2012, 6.45 pagi...inilah hari dan waktu berpisahnya aku dan abah tersayang di dunia ini.

Sekelip mata aku kehilangan seorang lelaki yang sangat penting dalam hidupku. Lelaki yang banyak berkorban untuk aku dan adik-beradikku.

Baru malam tadi aku sempat berbicara bertanya khabar tentang kesihatannya. Katanya sakit dada dah berkurang, pagi tadi dah berjumpa dan ambil ubat dari doktor yang juga merupakan sahabat lamanya. Malam Sabtu dia mula mengadu sakit dada dan muntah....tetiba pagi Ahad dia telah pergi untuk selama-lamanya.

Terlalu sukar untuk dipercayai sehinggalah aku melihat sendiri batang tubuh yang sangat aku sayangi terbujur kaku menunggu aku dan 2 lagi adikku tiba sebelum ditutup wajahnya dan disembahyangkan.

Maafkan kami kerana mementingkan diri membiarkan jasad abah menunggu sehingga ke petang. Aku mahu menatap wajah abah untuk kali terakhir kerana aku takut aku tak mampu menyakinkan diri yang abah benar-benar telah tiada.     

Aku tatap wajah tenang seumpama sedang lena, aku sentuh wajah yang amat aku takuti ketika kecil. Sejuk pipinya ku usap dan aku bisikan kata-kata terakhir untuknya...aku tahu dia mendengar....itu kali terakhir aku dapat mengucup pipi dan dahinya....

Ya Allah, kau ampunilah dosa-dosa abahku, tempatkan dia dikalangan hamba-hamba-Mu yang beriman. Kau lapang dan terangilah liang lahadnya. Damaikanlah dia disana...


Ya Allah, kau jadikanlah aku dan adik-beradikku anak-anak yang soleh dan solehah dan janganlah kau bebankan dosa-dosa kami ke atas kedua orang tua kami.  

Al- Fatihah...

Sehingga ke saat ini ada masa aku merasakan seolah-olah abah masih ada bersama kami. Segala kebiasaan dan tingkahnya masih terbayang di depan mata. 

Allah telah meminjamkan kepada kami sekeluarga seorang abah dan ketua keluarga yang penyayang dan sangat baik dengan caranya sendiri. 

Walaupun terkilan tidak banyak yang sempat aku lakukan untuk membalas jasa dan pengorbanan abah tapi aku redha dengan ketentuan-Nya. 

Moga Allah bimbing aku menjadi anak yang solehah supaya tidak terputus hubunganku dan abah disana. 

Shaban bin Mohd Wazai akan tetap hidup dalam diri dan ingatan kami selama-lamanya...
Semoga Allah pertemukan kita semula di Syurga-Nya nanti....

Amin...

2 comments: