Aug 13, 2009

Kenangan waktu kecil : Adik Pertama...Syabilla

Semalam seronok dapat jumpa Abah, Ibu, Ijat, Along dan Kak Long, diorang singgah ke KL dulu sebelum bertolak ke Tanjung Malim untuk konvo Syabilla Jumaat nanti. Best jugak Billa dapat konvo pada hari lahir sendiri, hadiah birthday yang ke-24. Congrats sis…semalam abah siap call suruh belikan hadiah birthday untuk Billa skali…skali? maknanya 2 hadiah ke kena beli???

Jenuh juga berfikir nak beli apa kat Billa, hadiah untuk ustazah kalau tak tudung, kain, jubah, apa lagi ek…asyik menda sama saja kan. Tapi kalau beli yang ranggi-ranggi mahu mengucap panjang pulak ustazah tu, silap haribulan boleh habis satu kitab kena lecture nanti hehe…

Cepatnya masa berganti, dah besar rupanya adik saya. Bercerita pasal Billa saya teringat satu kisah yang berlaku ketika saya kecil. Masa tu Billa baby lagi kalau tak silap umur dia dalam setahun lebih. Saya tak ingat kenapa saya kena jaga dia, yang saya ingat saya bawa dia masuk ke bilik. Kononnya dari jendela kayu bilik saya yang luas ternganga itu saya boleh tunjukkan dia beberapa ekor ayam dan itik kepunyaan jiran sebelah. Maklumlah duduk di kampung halaman rumah umpama zoo.

Seperti selalu saya akan letak dia di atas kepala katil yang searas dengan jendela, jadi ada ruang untuk dia duduk dan melunjurkan kaki ke bahagian luar jendela. Sedang asyik Billa melihat gelagat ayam dan itik tetiba debuk terdengar bunyi dan saya terkejut bila melihat tangan saya kosong hah saya jengah ke luar jendela dan nampak Billa sudah terbaring di atas tanah.

Terdengar jeritan Ibu dari arah rumah makcik yang terletak bertentangan, mungkin bunyi Billa jatuh menarik perhatian Ibu yang sedang bercakap dengan Mak Nik di beranda. Masih jelas jeritan ibu…Ya Allah, anak aku!!!

Saya pula terpaku melihat Billa, beberapa saat kemudian baru Ibu sampai dan mengangkat Billa yang sedang menangis. Masa tu hanya Allah saja yang tahu betapa takutnya saya kalau abah tahu Billa jatuh dari ketinggian 2.0 meter kerana kecuaian saya. Nasib baik kejadian itu berlaku selepas hujan jadi tanah sedikit lembut. Syukur juga Billa pun tak cedera cuma terkejut saja.

Tak sangka budak kecik yang saya jatuhkan (secara tak sengaja) sekarang dah berusia 24 tahun dan bakal menjadi seorang guru. Confirmlah kejadian itu tak menjejaskan kebolehan Billa hehe...entah Billa tahu atau tak cerita ni tapi saya akan ingat detik itu sampai bila-bila. Kadang-kala saya rindu dengan suasana masa kecil-kecil dulu. Kami adik-beradik bergaduh dan bermain bersama-sama. Rindu nak merajuk bila tak dapat tengok tv sebab kena jaga adik-adik sementara ibu uruskan hal rumah.

Betapa cepat kita ditinggalkan oleh masa, apa yang pernah diidamkan dulu banyak yang telah menjadi kenyataan walaupun tak semua terjadi seperti yang diimpi. Itulah kehidupan dan kita harus menghadapi dan terima segala seadanya. Seketika menoleh ke belakang melihat jejak-jejak yang telah ditinggalkan, yang menjadikan siapa kita pada hari ini. Ada kesal, ada syukur, ada rindu, ada dendam, ada kegembiraan, ada kesedihan dan ada ingatan yang tidak dapat dipadam. Setiap rasa itu hanya tinggal menjadi memori yang akan terus hidup selagi nadi masih berdenyut.

3 comments:

  1. Kekadang kenangan boleh jadi semangat hidup. Suka atau duka bila bernama kenangan ia pasti tetap ada tersimpan di suatu tempat yang ada ketika akan datang melintas di fikiran.

    ReplyDelete
  2. bestkan saat kanak2 dulu. kene marah,pukul.. tetap buat nakal lg lain kali..hahaha

    ReplyDelete
  3. Kenangan kdg2 leh kuatkan semangat tuk dptkan apa yg kita nak tp kdg2 ia sedarkan kita byk yg telah jauh & hilang dari kita.

    ReplyDelete