Apr 20, 2011

Exclusively with Anuar Zain



Semalam yang tak akan dilupakan...akhirnya berjaya mempengaruhi diri sendiri untuk ke Luncheon Special Exclusively with Anuar Zain di PERSADA Johor. Melihat persembahan live penyanyi kegemaran saya :)



Sejak 5 tahun lepas asyik tak jadi je sebab selalu fikir dengan harga tiket mencapai angka ratus tu banyak menda saya boleh buat selain berhibur. Kalau ikut tambang bas dah boleh beli tiket pergi-balik ke kampung dah.



Setelah berfikir semasaknya...kali ini saya bertekad kerana dua sebab. Pertama saya ingin jadikan ia sebagai hadiah untuk diri sendiri atas keberanian membuat keputusan. Kenangan sebelum saya meninggalkan tanah Johor dan kembali ke tanah tumpah darah. Sebab kedua, biarlah rahsia...cukuplah Allah saja yang tahu.



Seperti diduga persembahan AZ memang memuaskan hati, terasa berbaloi dengan harga yang dibayar. Suasananya memang menakjubkan sekali. Kekadang terasa seperti sesi karaoke secara live bersama AZ sebab semua dengan sportingnya menyanyi bersama-sama AZ. Sampaikan AZ berkata dia tak perlu menyanyi dah hehe comel...

Paling best AZ turut mengalunkan lagu kesukaan saya, "MUNGKIN" terasa seperti semangat diri di "charge" dan "Sedetik Lebih" yang menjadi kesukaan sepupu kesayangan saya juga...

Ramai yang bertanya kenapa saya suka AZ? emm saya suka sebab lagu-lagu dia best & personalitinya yang merendah diri juga peramah.

Yup, saya juga kurang senang dengan keterbukaan AZ melayan peluk-cium peminat wanita kerana sebagai seorang muslim kelakuan tersebut dianggap tidak sopan dan melanggar syariat. Moga AZ dapat menerima teguran masyarakat dan berubah ke arah yang lebih baik.

Berhibur & bekerja dengan cara yang diredhai...

TQVM Anuar Zain, kerana tak membuatkan saya rasa rugi & menyesal!!!

Apr 4, 2011

Mati itu Pasti

Benarlah kematian tak mengenal usia. Apabila telah tiba waktu untuk kita kembali ke sisi-Nya tak akan cepat atau lambat walau sesaat.

Mengingatinya, takut dan bimbang amal masih tak seberapa dan kalau Allah ambil semula “hak-Nya” ini maka di manakah kesudahan hamba-Mu yang hina ini Ya Allah.

Peringatan ini menggetarkan dada. Ya Allah ampunkan dosa-dosaku samaada yang aku nyatakan atau yang aku sembunyikan, yang disengajakan atau yang tak disengajakan. Kasihani hamba-Mu ini Ya Allah. Sesungguhnya aku takut dengan kemurkaan-Mu, seksaan kubur dan azab api neraka-Mu Ya Allah.

Jauhkanlah Ya Allah....
Janganlah Engkau masukkan aku, keluargaku, kaum kerabatku, sahabat-sahabatku serta saudara-saudaraku dalam golongan orang-orang yang menjadi ‘kayu api’ Jahannam. Ampuni dan beri maafkan kami Ya Allah.
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun Lagi Maha Pengasihani.

Wahai semua kenalan, sahabat dan keluarga sekalian maafkanlah salah dan silap saudara kalian ini jika ada terkasar bahasa, terguris perasaan dan tanpa sedar telah menyakiti hati kalian. Tiada amarah dan dendam dalam hati ini untuk sesiapa pun.

Ya Allah tetapkan hatiku di atas jalan-Mu dan janganlah Engkau tinggalkan aku walau sedetik. Janganlah Engkau buang rasa takut dan bimbang ini Ya Allah jika ia bisa menjauhkan aku dari-Mu.

Perginya Tak Akan Kembali Lagi

Dunia berputar begitu pantas sekali, ada ketika putarannya membuat kita leka dan adakala putaran yang deras itu datang bersama kejutan yang tak terduga sama sekali.

Kehidupannya terhenti dan yang masih hidup termangu berfikir...”Benarkah dia telah pergi?” “Ya, buat selama-lamanya”

Dan sekali lagi buat yang masih hidup, satu lagi peringatan tanpa suara supaya kita bersedia kerana mungkin giliran kita juga akan tiba...mungkin sedetik, mungkin sedetik lebih....

Pemergian arwah Su benar-benar mengejutkan kami sekeluarga. Dia pergi ketika dia nampak sihat. Namun atas kepercayaan pada qada’ dan qadar, kami relakan pemergiannya dalam tangis. Tiada lagi mak saudara yang akan panggil saya “kak”.

Panggilan jam 6.40 petang, Ahad 27 Mac 2011 memberi khabar kembalinya ke rahmatullah Rohani binti Mohd Wazir. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Alhamdulillah kami adik-beradik dipermudahkan perjalanan pulang untuk menatap wajah arwah buat kali terakhir dan mengiringi jenazahnya ke tempat persemadian. Disemadikan bersebelahan kubur anak arwah kakak sulungnya. Tiada lagi Mok Long, Mok Ngoh, Pok Chik dan Su.

Takziah untuk abah, Chik dan Pok Ngoh. Semoga mereka semua tabah menghadapi kehilangan adik bongsu mereka.

Disaat seperti ini, kami adik-beradik rasa terkilan kerana tak dapat lama menemani abah dan Chik melalui kehilangan ini kerana masing-masing bekerja dan belajar di negeri lain. Semoga Allah memudahkan urusan kami dan memurahkan rezeki kami untuk pulang berada disisi ibuabah, menjaga dan melayani mereka. Amin.

“Ya Allah, Engkau panjang dan lanjutkan usia kedua ibubapa kami agar dapat kami berbakti kepada mereka disepanjang hayat kami. Engkau panjang dan lanjutkan usia kami agar dapat kami menjaga dan mengasihi mereka seperti mana mereka pernah menjaga dan mengasihi kami. Dan janganlah Engkau titikkan dalam hati kami walau sezarah rasa penat untuk kami berbakti kepada kedua ibubapa kami melainkan telah Engkau cabutkan roh dari jasad kami. Amin Ya Rabbal Aalamin.”

Tiada siapa dapat menduga bila dia akan dipanggil kembali menemui Penciptanya. Dan semoga kita semua dapat bertemu-Nya dalan keadaan yang diredhai dan diampuni segala dosa-dosa.