Dunia berputar begitu pantas sekali, ada ketika putarannya membuat kita leka dan adakala putaran yang deras itu datang bersama kejutan yang tak terduga sama sekali.
Kehidupannya terhenti dan yang masih hidup termangu berfikir...”Benarkah dia telah pergi?” “Ya, buat selama-lamanya”
Dan sekali lagi buat yang masih hidup, satu lagi peringatan tanpa suara supaya kita bersedia kerana mungkin giliran kita juga akan tiba...mungkin sedetik, mungkin sedetik lebih....
Pemergian arwah Su benar-benar mengejutkan kami sekeluarga. Dia pergi ketika dia nampak sihat. Namun atas kepercayaan pada qada’ dan qadar, kami relakan pemergiannya dalam tangis. Tiada lagi mak saudara yang akan panggil saya “kak”.
Panggilan jam 6.40 petang, Ahad 27 Mac 2011 memberi khabar kembalinya ke rahmatullah Rohani binti Mohd Wazir. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
Alhamdulillah kami adik-beradik dipermudahkan perjalanan pulang untuk menatap wajah arwah buat kali terakhir dan mengiringi jenazahnya ke tempat persemadian. Disemadikan bersebelahan kubur anak arwah kakak sulungnya. Tiada lagi Mok Long, Mok Ngoh, Pok Chik dan Su.
Takziah untuk abah, Chik dan Pok Ngoh. Semoga mereka semua tabah menghadapi kehilangan adik bongsu mereka.
Disaat seperti ini, kami adik-beradik rasa terkilan kerana tak dapat lama menemani abah dan Chik melalui kehilangan ini kerana masing-masing bekerja dan belajar di negeri lain. Semoga Allah memudahkan urusan kami dan memurahkan rezeki kami untuk pulang berada disisi ibuabah, menjaga dan melayani mereka. Amin.
“Ya Allah, Engkau panjang dan lanjutkan usia kedua ibubapa kami agar dapat kami berbakti kepada mereka disepanjang hayat kami. Engkau panjang dan lanjutkan usia kami agar dapat kami menjaga dan mengasihi mereka seperti mana mereka pernah menjaga dan mengasihi kami. Dan janganlah Engkau titikkan dalam hati kami walau sezarah rasa penat untuk kami berbakti kepada kedua ibubapa kami melainkan telah Engkau cabutkan roh dari jasad kami. Amin Ya Rabbal Aalamin.”
Tiada siapa dapat menduga bila dia akan dipanggil kembali menemui Penciptanya. Dan semoga kita semua dapat bertemu-Nya dalan keadaan yang diredhai dan diampuni segala dosa-dosa.
No comments:
Post a Comment