Sebelum bercerita panjang, kita sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah Din Beramboi yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi. Walaupun saya bukan peminat arwah tetapi kadang-kala lawak beliau mampu membuatkan kita tersenyum dan ketawa. Pemergiannya secara tiba-tiba pasti amat perit untuk diterima oleh keluarga, rakan-rakan dan para peminat. Semoga mereka semua tabah menghadapi kehilangan ini dan sama-sama berdoa semoga roh arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Takziah.
Pagi tadi sempat juga mendengar celoteh Kiran dan AG dalam perjalanan ke ofis bercakap tentang kehilangan. Ada pemanggil sampai menangis bila berbicara tentang kehilangan orang yang mereka sayangi. Entah bila semakin tua mungkin jiwa makin lembut, mudah menitiskan air mata bila mendengar cerita-cerita yang mengharukan. Hal yang sama berlaku semasa menjenguk Program STAR V7 adik-adik KLM di Kem Kaizen hujung minggu lepas. Melihat mereka bersama membuatkan saya teringat zaman bersama kawan-kawan KLM dahulu, saat manis yang tak mungkin akan dilupa sepanjang hayat. Kalau nak dicerita satu-satu memang panjang berjela-jela tapi saya pasti, mereka juga merasakan yang sama cuma sekarang masa dan komitmen menjauhkan kita.
Kenangan STAR V7
Bila dah bekerja, masa bersama kawan-kawan pun makin kurang tambah pula kalau yang dah berkeluarga. Bila komitmen dah bertambah, masa pun kurang apa yang pernah dilakukan dahulu hanya dapat dikenang dan diingati.
Jadi pada adik-adik yang masih belajar di universiti atau kolej, ambillah kesempatan untuk aktif dengan persatuan atau kelab. Banyak yang dapat kita belajar tentang kehidupan, yang tidak ada dalam silibus universiti/kolej. Gunalah peluang ini untuk mengenali diri sendiri, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling kerana peluang tak selalu datang bergolek. InsyaAllah pengalaman dan skill yang kita dapat itu mungkin sedikit sebanyak dapat membantu kita menempuhi dugaan dan cabaran kehidupan mendatang.
Alhamdulillah, kalau dulu bersama KLM kini saya kembali aktif dengan @Lambaian dan paling mengembirakan bila dapat berprogram bersama kawan-kawan lama dan mengenali adik-adik KLM yang masih aktif sehingga ke hari ini. Perbezaan umur hampir 12 tahun bukanlah penghalang untuk kita membina ukhwah dan bekerjasama.
Kembali ke Kem Kaizen dengan beberapa alumni KLM benar-benar mengingatkan diri sendiri betapa bertuahnya saya mempunyai kawan-kawan seperti mereka. Setiap orang punya kelemahan, begitu juga saya dan mereka. Kami juga pernah bergaduh, berselisih pendapat dan kadangkala bergurau berlebihan (sampai ada yang berkecil hati) tetapi itu semua tidak pernah menggugat persahabatan kami. Kenapa?
Ukhwah kami datang dari susah payah, gelak tawa dan tangis duka yang dikongsi ketika berprogram bersama. Rakan yang sanggup susah dan senang bersama kita dari awal hingga akhir bukan senang untuk dimiliki dalam dunia sekarang. Disaat dunia mengagungkan kekayaan, pangkat dan nama, saya lebih bangga mendampingi rakan-rakan yang menganggap kasih sayang dan persahabatan adalah harta yang paling bernilai.
Bila keikhlasan dan kejujuran dijadikan tunjang dalam persahabatan, insyaAllah tiada halangan dan dugaan yang dapat memusnahkannya. Semoga kita semua diberkati dengan kawan-kawan yang bukan hanya akan memuji tapi juga yang akan menegur dan menasihati disaat kita leka dan alpa.
Suatu hari nanti saya berharap dapat berkumpul semula dengan semua geng Lambaian walau dimana pun mereka berada supaya ukhwah yang pernah terjalin tak akan terputus begitu saja.
Semoga persahabatan yang kita ada akan kekal sehingga ke akhir hayat
No comments:
Post a Comment