Selamat Hari Lahir!
Abah yang banyak memberikan pengalaman "ngeri" dalam hidup saya, tetapi kerana abah saya berani menghadapi "ketakutan".
Dulu saya sangat takut dengan abah hingga dari jauh bunyi tapak kaki abah pun saya dapat cam. Abah selalu membuat saya peka dan tangkas bertindak seperti memanjat jendela bilik bila tak sempat naik ke rumah bila keluar bermain sebelum waktu yang ditetapkan.
Abah mengajar saya perlunya ada sikap tidak mudah percaya, bila setiap kali balik dari kerja abah akan meletakkan tangan dibelakang tv untuk pastikan kami tidak menonton tv sebelum menyiapkan kerja sekolah. Kalau belakang tv panas, angin agak baik abah cuma akan marah tapi kalau angin tak baik tak dapatlah kami turun bermain petang itu.
Abah sentiasa membuat saya kagum bila beliau selalu dapat mengesan kami ada mengusik dan menggunakan barang diatas meja kerja beliau walaupun kami dah pastikan barang tersebut dah diletakkan seperti mana sebelum diambil.
Abah tidak pernah tak marah bila kami buat salah walau kesalahan sekecil menumpahkan air atas lantai yang basah. Tapi pelik saya tak pernah benci abah, seperti mana yang selalu ditonton dalam tv. Ada anak-anak yang sanggup pukul dan cederakan mak bapak sendiri bila dimarahi. Saya bukan anak yang baik juga sebab itu saya pernah merasa penampar dan rotan bulu ayam dari tangan abah (ops ibu juga tapi abah lagi banyak).
Saya bersyukur kerana Allah jauhkan perasaan benci itu dalam diri saya, Allah lindungi saya supaya bila dewasa saya dapat melihat erti "kasih sayang" disebalik setiap birat yang pernah singgah dibadan.
Semoga Allah berikan abah segala kebaikan yang ada didunia dan akhirat, dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik.
Semoga Allah berikan juga kemudahan kepada kami untuk membahagiakan abah, mampu memberikan semula semua keinginan yang telah abah korbankan demi anak-anak abah.
Semoga Allah jauhkan kami dari menyusahkan dan membuat abah risaukan kami lagi....
Terima kasih Allah kerana berikan saya peluang untuk memahami hati seorang abah...
Saya sayang abah saya!!!!! :)
No comments:
Post a Comment