May 25, 2011

Memandang dan Mendengar dari Luar

Saya yang memandang dan mendengar dari luar berkongsi pelbagai cerita emosi, ada kisah yang meresap hingga ke hati dan melekat dalam fikiran. Ada cerita yang seronok dikongsi dan ada juga yang sukar untuk dimengerti. Saya mendengar dan cuba memahami, saya berfikir dan menilai melalui pengalaman hidup sendiri. Membandingkan penilaian diri dan mengambil iktibar dari setiap hitam dan putih natijahnya.

Saya yang memandang dan mendengar dari luar membuat saya banyak berfikir...

Adakah mereka itu yakin mereka telah menemui cinta sejati mereka?

Adakah mereka pasti mereka akan bahagia hingga ke akhirnya sehingga merasa mereka ada hak untuk mempersoalkan kesendirian orang yang tak berteman tu adalah satu kekurangan?

Adakah mereka terlalu banyak berharap dan menjadikan mereka mudah kecewa?

Adakah mereka lupa bahawa setiap perjalanan hidup ini walau bagaimana seseorang manusia itu berusaha sekali pun tanpa izin-Nya adalah sia-sia?


Sesekali pandanglah wajah orang yang ditanya, lihatlah sinar matanya yang sirna bila mendengar kata-katamu. Fahamilah kamu telah melukai hatinya dengan niat murnimu.

Beranikah kamu untuk berkata kamu telah melakukan kebaikan dengan menyakiti hati seseorang?.

Maknakan nasihat dan dakwahmu dengan kata-kata yang meyejukkan jiwa yang mendengar. Dia mungkin tersenyum dan turut ketawa mendengar kata-katamu yang menyakitkan kerana dia sahabatmu...kerana dia menyintaimu. Bersikap adillah kepadanya.

Saya yang memandang dan mendengar dari luar turut merasai kesedihannya kerana saya tahu sejauh mana dia telah berusaha. Dan kamu sahabat-sahabatnya juga tahu tetapi mengapa kamu masih memilih untuk membuatnya tertekan dan terluka?

Saya yang memandang dan mendengar dari luar memahami keserabutan dan kecamuk dihatinya kerana itu adalah hakikat kejadian. Dan kamu orang menyintainya, jika masih mahu memperkatakan tentang kelemahan dan merasa susah dengan kekurangannya, tanyakan dia tentang kekurangan dan kelemahanmu. Bersikap adillah kamu kepadanya.

Saya yang memandang dan mendengar dari luar belajar menjadi matang dengan pengalaman orang lain. Saya perlukan keberanian dan kesabaran untuk menyusun langkah lebih jauh. Dipersimpangan hidup saya juga akan ditanya dengan soalan-soalan yang entah mampu atau tidak untuk saya tidak berkecil hati.

Saya yang memandang dan mendengar dari luar juga pernah memilih perkataan yang tidak menggambarkan “rasa” yang sebenar dan hasilnya perkataan-perkataan itu menyebabkan mereka menyalahertikan maksud yang sebenar.

Saya yang memandang dan mendengar dari luar juga manusia biasa, ada soalan yang saya sendiri tiada jawapan. Saya tidak mendapatnya dari pengalaman orang lain kerana saya adalah saya. Cuma satu yang saya harap kini, agar saya tidak lagi menghampakan dan menyakiti hati mereka dengan jawapan sinis. Saya ingin menjadi orang yang lebih baik setiap hari. Saya telah memilih jalan yang dirasakan terbaik untuk saya. Dan saya tidak akan peduli dengan apa yang kamu dan mereka katakan kerana saya tahu apa yang saya nak dalam hidup dan selepasnya.

No comments:

Post a Comment