Seronoknya dapat balik ke kampung dan bertemu ibu, abah dan Ijat yang makin gemuk. 4 hari melayan karenah budak nakal tu memang terhibur. Hilang semua perkara-perkara yang berkecamuk dalam fikiran. Alhamdulillah abah dan ibu semua sihat cuma diorang nampak makin kurus. Mungkin sebab terkena tempias diet Ijat. Paling best bila dapat makan lauk-lauk masakan ibu. Hari pertama kat rumah ibu masak nasi goreng yang agak banyak, ibu dan Ijat makan sepinggan dan Syila habiskan berpinggan-pinggan. Ibu pun senyum tengok anak perempuan dia makan banyak. Bukan tak cukup makan kat KL ni cuma lama tak merasa masakan ibu jadi kesedapan tu tak terhingga. Memang tak boleh nak kawal nafsu makan bila kat kampung, semua rasa sedap terutama ikan kembung singgang dan ikan masak kicap ibu huh memang takde siapa leh lawan.
Abah pula ada suarakan supaya Syila cari kerja kat kampung. Nampaknya abah dah rindu ada anak-anak kat rumah, maklum le sekarang semua duduk berjauhan. Nasib baik ada Ijat yang jadi penghibur tetap. Melihat kesungguhannya, mungkin Syila patut pertimbangkan saranan abah. Buat masa sekarang tak boleh nak fikir lagi. Dulu masa sekolah tak sabar-sabar nak kerja tapi bila dah bekerja ni rasa best pulak zaman bersekolah. Bukan senang jadi orang dewasa, banyak perkara yang perlu difikir dan dipertanggungjawabkan.
Syila juga berkesempatan menyelongkar kembali barang-barang lama yang tersimpan rapi di dalam kotak. Barang-barang seperti kad-kad ucapan Selamat Hari Lahir dan hadiah yang dihantar oleh Wanie, kawan baik Syila kat sekolah menengah sempena ulangtahun yang ke-15, ke-17 dan ke-21 mengingatkan Syila tentang keseronokan zaman sekolah dulu. Syila dan Wanie banyak berkongsi kesukaan yang sama antaranya sama-sama minat dengan Yusry KRU, sama-sama gila membaca novel dan kami juga berkongsi cerita secret admirer masing-masing. Entah Wanie masih ingat ke tak cerita-cerita kami dulu? Masa tu memang best, teringat kat SA lama yang kami panggil MM. Apa cerita dia sekarangkan.
Paling excited bila Syila jumpa semula surat pelantikan sebagai ahli Kelab Lambaian Masyarakat (KLM) yang Syila terima pada 04/09/1999. Bersama KLM adalah tempoh yang amat mengembirakan dan memberi makna yang besar dalam hidup. Saat berprogram bersama KLM membuatkan Syila sedar akan erti persahabatan, tanggungjawab dan kehidupan. KLM jugalah yang menemukan Syila dengan Kak Easy, Nogie, Kak Edd, Kak Tie dan sahabat-sahabat lain yang baik hati. Alhamdulillah sampai sekarang kami sentiasa berhubung walaupun masing-masing sudah ada kehidupan sendiri.
Harap-harapnya dengan penubuhan Alumni Lambaian Masyarakat (@Lambaian) nanti akan kembali membuka ruang dan peluang untuk sama-sama berprogram bersama kawan-kawan KLM dahulu. Terlalu banyak kenangan manis bersama KLM (sebab yang pahit pun dah jadi manis). Susah senang untuk menjayakan program sampai ada yang tak tidur, tak sempat makan pun ada dan bermacam-macam ragam lagi le. Bila dah jadi senior lagi le terasa sebab dapat adik-adik junior yang baik, kelakar dan yang manja pun ada. Bila ada masalah diorang akan datang mengadu dan meminta pendapat terasa dihargai. Saat yang paling best bila habis satu-satu program kami akan keluar makan beramai-ramai macam satu keluarga. Bagi Syila istimewanya KLM adalah kerana persahabatannya.