Ada waktu mencari alasan untuk membenarkan segala kesilapan yang dibuat. Mencuba sedaya upaya untuk merasionalkan setiap kesalahan supaya dapat membuang rasa bersalah yang ada dalam diri. Kita boleh membohongi orang lain tapi bukan diri sendiri.
Pertelingkahan antara akal dan hati pasti akan mempengaruhi keputusan. Ada kala mengikut kata hati itu betul dan ada ketika menurut kewarasan akal adalah tepat. Ada masa bila terlalu banyak beban perlu dipikul hati terasa seperti ingin melepaskan segalanya. Lepaskan tangan dan biarkan diri bebas dari segala rasa yang terbuku.
Ya, lepaskan semua dan biarkan takdir memilih jalan sendiri. Keletihan ini telah membunuh keterujaan hidup, keseronokan untuk bermimpi dan keindahan mencipta impian. Semangat yang hilang membawa pergi seluruh keinginan, tiada yang dinanti, tiada yang diimpi dan apa yang ada itulah ia.
Berputus asa dengan impian sendiri amat menakutkan, mengakui kekurangan diri dan membiarkan rasa takut dan lemah menguasai fikiran. Terkepung dan terkurung dengan anggapan negatif membiarkan setiap inci keyakinan ditewaskan dengan mudah. Berserah dan menyerah kalah itukah aku?
Perasaan ini dikuasai oleh ketidakupayaan, melihat harapan itu berlalu tapi mengapa tiada rasa untuk menghalangnya dari pergi. Namun dalam kekusutan ini aku masih temui kebahagian biarpun untuk memahaminya aku sendiri tidak mengerti. Jadi jangan bersimpati dengan kekalahan ini kerana aku pasti akan berdiri kembali cuma aku ingin belajar menikmati udara sempit ini. Andai suatu hari saat ini tiba lagi aku pasti akan dapat bernafas dengan tenang dan tak akan berasa sakit lagi.
Aku berputus asa dengan jalan yang aku pilih, bukannya dengan pilihan yang ada kerana tanggungjawab perlu dilunaskan. Biarkan aku tenggelem, aku ingin bernafas sendiri…
Pelikkan, ada waktu terasa seperti tak tertewaskan dan ada waktu hanya membiarkan diri tewas begitu saja.
Ditewaskan atau menewaskan bukan penentu utama menang atau kalah. Dalam hidup ada kalah dalam menang ada juga menang dalam kalah. Kekadang menarik nafas panjang boleh jadi mengeluh kekadang boleh juga jadi lega.
ReplyDelete