Oct 2, 2012

Pengaruh Abah, Didikan Ibu...


Kebelakangan ini aku banyak mengikuti perkembangan politik semasa. Dulu aku cukup tak suka dengan cakap-cakap politik.

Waktu aku kecil dulu abah pernah aktif dengan sebuah parti politik yang aku namakan Parti A. Masa tu pernah juga aku dan abang mengikut abah ke pos parti berdekatan rumah arwah Mak Long bila kempen pilihanraya bermula. Suka tengok kemeriahan poster2 dipasang, dengar perbincangan dan kadang-kadang tumpang bersorak tengok abang2 yang jaga pos lawan karom.

Budak kecik apa sangat nak difikir.

Bila dah besar, dah mula faham apa yg diucapkan aku mula tak suka dengar cakap-cakap politik yang selalunya aku mengata kau, kau mengata aku. Bagi aku orang politik adalah orang berkepentingan. Kau ada kuasa kau kawan, kau hilang kuasa kau terbuang. Susah nak cari kawan sebenar dalam politik. Itulah yang tersemat dalam otak aku sejak berpuluh tahun.

Selepas Parti A dibubarkan abah pun berhenti berparti. Ada yang ajak masuk BN dan ada yang ajak masuk Pas. Tetapi aku rasa abah memilih untuk mengekalkan kawan-kawannya. Jika kawan yg masuk BN ajak pergi program kemasyarakatan anjuran mereka, abah pergi. Jika kawan Pas ajak lawan bolasepak abah join.

Kemudian abah beralih bidang, aktif pula dengan rukuntetangga kawasan dan Kelab Penyokong bola sepak Kelantan.

Aku lupa apa jawatan abah dalam Kelab Penyokong tetapi aku ingat dulu abah selalu ke stadium ketika ada perlawanan. Buatkan tempahan baju, topi, mafla dan sebagainya khas untuk kelab penyokong. Jika ada perlawanan di tempat lawan sibuk diuruskan pengangkutan & penginapan di sana pula. Peneman setia abah waktu itu adalah adik lelakiku Aril. Seawal usianya 6 tahun dialah orang yang paling beruntung sebab abah pasti akan membelikan jersi/baju kelab penyokong mengikut edisi yang dikeluarkan dan pastinya akan menemani abah ke stadium utuk menonton perlawanan.

Berhenti dari Kelab Penyokong abah kemudian aktif dalam aktiviti rukuntetangga. Bermula sebagai AJK kemudian menjadi setiausaha untuk beberapa tahun sebelum dilantik menjadi Pengerusi. Banyak aktiviti dan program kemasyarakatan yang telah aku dan keluarga sertai ketika abah bersama rukuntetangga. Tambahan pula mesyuarat mereka selalu diadakan di rumah arwah Mak Long yang juga merupakan salah seorang AJK. Walaupun sekarang rukuntetangga ini sudah tidak seaktif dulu tapi aku masih lihat abah mengambil berat tentangnya.

Bila difikirkan semula aku rasa minat abah banyak mempengaruhi kami adik-beradik. Semangat dan kesungguhannya telah menimbulkan minat dan rasa kepedulian kami.

Walaupun sekarang abah sudah tidak larat untuk ke stadium setiap kali perlawanan bolasepak tetapi kebiasaan itu diganti pula oleh Along dan Aril. Dua orang penyokong tegar ini pasti tidak akan melepaskan peluang ke stadium jika berkesempatan. Edisi terakhir anak lelaki abah, Izzat juga telah menyertai dua abangnya baru-baru ini. Dia juga mewarisi keberuntungan Aril dulu sebab setiap kali Kelantan FA keluarkan jersi baru pasti Izzat akan mendapat jersi yang ORIGINAL. Abah pula cuma akan ke stadium apabila Kelantan masuk ke perlawanan akhir mana-mana Piala. Aku dan Mila juga akan menyertai mereka untuk memberikan sokongan.
  
Pengaruh ini yang membuat aku memilih untuk menyertai Kelab Lambaian Masyarakat (Lambaian) ketika di UTM dulu. Salah satu jawapan aku ketika menghadiri temuduga untuk menyertai Lambaian. Alhamdulillah, itu adalah salah satu keputusan terbaik yang pernah aku buat sepanjang hidup aku.

Disebabkan Lambaian aku dapat ramai sahabat yang baik selepas beberapa tahun melalui susah senang berprogram bersama. Aku juga dapat belajar menjadi seorang sahabat, fasilitator, anak angkat dan pemimpin yang baik. Pengalaman dan pengetahuan yang tidak akan diperolehi didalam bilik kuliah. Kini usia persahabatan kami hampir menjangkau 13 tahun...semoga persahabatan ini kekal hingga ke Syurga.

Bagilah apa saja jawatan ketika program, setiausaha, ajk apa pun aku tak risau sebab selain senior2 aku ada abah sebagai sumber rujukan.

Apa yang aku belajar dari pemerhatian dan pengalaman hidup sendiri adalah besarnya pengaruh ibubapa dalam hidup anak-anak. Segala yang dilakukan boleh menjadi sumber inspirasi dan perangsang buat mereka.

Bila aku bandingkan didikan dan cara asuhan yang aku terima dari abah dan ibu dulu jauh berbeza dengan anak-anak zaman sekarang.

Aku pelik bila tengok kanak-kanak/remaja boleh merayau-rayau dengan kawan-kawan waktu malam. Melihat cara mereka berpakaian dan bersosial serta layanan mereka terhadap guru dan masyarakat sekeliling.

Senang cakap kalau aku buat benda yang budak sekarang buat mahu jadi arwah kena bedal dengan abah dulu.
Pandangan dari segi toleransi dalam menghukum. 

Pada mata orang ramai mungkin tiada yang istimewa pada abah. Tetapi dihati aku abah adalah orang yang paling istimewa. Istimewa kerana aku pernah melihat kesilapan, kesukaran dan kesedihan beliau tetapi sedikit pun tidak mengurangkan rasa hormat terhadapnya.  

Aku sebenarnya mirip dan rapat dengan ibu tetapi banyak mewarisi sikap abah...dua2 ada!

Lagi satu bila aku dah dewasa ni ibu banyak berkongsi dengan aku setiap kesukaran yang beliau dan abah lalui untuk membesarkan kami adik-beradik. Dan aku rasa itu juga salah satu perkara yang membuka mata dan menyedarkan aku untuk cuba menjadi anak yang baik.

Jika Allah s.w.t beri aku peluang dan keizinan untuk menjadi seorang ibu nanti, aku harap aku boleh beri contoh dan pengaruh yang baik kepada anak-anak seperti Abah & boleh melayan serta mendidik anak-anak dengan sabar seperti Ibu.

InsyaAllah.

Mode: Rindu Abah, Ibu & adik-beradik... 

No comments:

Post a Comment