Oct 2, 2012

Politik tak pening, saya yang pening..

Rasa nak mengeluh...
Tapi mengeluh tak baik bagi orang Islam kan?

Harap PM cepat-cepatkan PRU....
Tak larat dah nak dengar dan baca laporan dalam akhbar utama dan alternatif...

Macam musykil pula dulu tak adalah seteruk ini 'suasana pertelingkahan politik' negara kita.

Sekarang isu-isu yang dimainkan bukan saja membakar perasaan rakyat berbilang kaum malah jika diamati pertelingkahan ini turut memberi kesan kepada isu akidah dan akhlak umat Islam sendiri.

Buat masa sekarang kalau ada mana-mana pemimpin yang nak guna slogan 'kepimpinan melalui teladan' tolong muhasabah diri anda dulu. Pastikan slogan itu tidak memalukan anda kemudian hari.

Bukan apa, melalui pemerhatian saya ada dikalangan pemimpin yang tunjukkan teladan yang tak elok pada rakyat.

Tak perlulah nak bagi contoh sebab masing-masing sudah besar dan ada akal untuk menilai. Kalau bagi contoh pun bukan semua boleh terima teguran. Tujuan saya bukan untuk menegur sesiapa cuma untuk berkongsi pandangan sendiri.

Kadang-kadang saya terfikir mereka ini tak ada perasaan malu atau segan ke bila melihat laporan /visual perlakuan mereka?

Patutlah amat bahaya bagi seseorang sekiranya telah tercabut perasaan malu dan segan dalam dirinya.

Dalam pening-pening tu saya jadi tertanya-tanya pula, siapa sebenarnya pemimpin yang baik.
Apakah ciri-ciri yang perlu ada untuk mengklasifikasikan dia adalah pemimpin yang baik sedangkan masing-masing mengaku mereka adalah pemimpin yang baik.

Memang betul sebab sebelah sini dan sebelah sana pun ada kebaikan yang dia dah buat dan ada juga yang tak betul pada pandangan mata saya ini.

Maka pertanyaan itu membawa saya kembali mengenali keperibadian Pemimpin Manusia Paling Agung yang telah diutus oleh Allah s.a.w sebagai Rasul terakhir iaitu Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abd Manaf bin Qushay.

Saya kira Rasulullah s.a.w adalah rujukan yang paling tepat untuk menggambarkan ciri-ciri pemimpin Islam sebenar. 

Saya kongsikan sedikit kisah dari Petikan Buku tulisan Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni yang diterjemahkan oleh Nor Hasanuddin bertajuk Seolah-olah Engkau Melihat Muhammad s.a.w.

Kisah 1(m/s 195-197)

....Pada suatu hari, seseorang membaca doa tasyahhud dengan berkata : " Ya Allah, kasihanilah aku dan Muhammad dan jangan Engkau mengasihani orang selain kami ini."

Mendengar itu, Rasulullah s.a.w bersabda:
Terjemahannya:

"Sesungguhnya engkau telah membatasi keluasan rahmat Allah yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang menginginkannya."
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari: (6010) dari Abu Hurairah r.a)

Kisah 2 

Seorang Arab Badwi berdiri dan kencing di bahagian tepi masjid. Para sahabat yang melihat peristiwa itu berdatangan untuk memukulnya. Namun Rasulullah s.a.w mencegahnya dan meminta segayung air untuk menyiram ke atas bekas kencingnya itu.

Baginda kemudian memanggil Arab Badwi tadi dengan lemah-lembut dan bersabda:-
Terjemahannya:

"Sebenarnya masjid ini tidak boleh dijadikan sebagai tempat kotoran dan najis. Ia sebagai tempat untuk solat, berzikir dan membaca al-Qur'an"
(Diriwayatkan oleh Muslim: (285) dari Anas bin Malik r.a)

Orang Arab Badwi itu akhirnya pulang menuju kaumnya setelah menyaksikan sifat ramah-tamah dan sopan-santun Rasulullah s.a.w. Dia mengajak kaumnya supaya memeluk agama Islam sehingga mereka semua memeluk agama Islam.

Kisah 3

Pada suatu hari, bangsa Yahudi masuk bertamu kepadanya. Mereka berkata: "Semoga kamu cepat mati wahai Muhammad."
Aisyah yang mendengar kata-kata busuk mereka itu menjawab:"Semoga kamu cepat binasa dan dilaknat Allah."
Mendengar demikian Rasulullah s.a.w bersabda: "Wahai Aisyah, apa ini? Sesungguhnya Allah tidak menyukai kejahatan dibalas dengan kejahatan yang serupa. Aku telah menjawab apa yang mereka katakan itu, dan aku katakan kepada mereka: 'Kamu juga demikian!'."

Dalam sejarah hidupnya tidak pernah ditemui Baginda mengeluarkan kata-kata kotor dan tidak sopan. Sebaliknya, hidupnya dipenuhi dengan kebersihan, kelembutan dan kesetiaan. Sebab Baginda adalah rahmat, hadiah, anugerah, ni'mat, keberkahan, kebaikan yang berterusan.


Perhatian: Rujuklah para ustaz/ustazah/alim ulama untuk tafsiran tepat pada kisah-kisah diatas supaya anda tidak tersalah tafsir isi yang ingin disampaikan. 


*************

Ada banyak lagi kisah yang memperihalkan sifat dan sikap Rasulullah s.a.w namun saya cuma petik tiga kisah ini sahaja supaya kita semua dapat berfikir sejenak.

Buku ini saya beli di Popular dengan harga RM13.90 sahaja.

Pada saya pemimpin Islam yang baik adalah yang mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupannya, mempunyai  keperibadian seperti Rasulullah s.a.w dan sentiasa menyeru rakyat ke arah kebaikan. Menjadikan tugas dan tanggungjawab sebagai amanah yang harus dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Mungkin ada ramai pemimpin seperti ini.
Jika inginkan pemimpin yang terbaik dikalangan yang baik, carilah pemimpin yang paling dekat keperibadiannya dengan keperibadian Rasulullah s.a.w maka dialah pemimpin yang terbaik di kalangan mereka.

Betul tak?

Selamat berfikir.
Sudah fikir, tanya iman pastu pergi mengundi yea.....itu juga amanah yang akan disoal diakhirat nanti.

: )

No comments:

Post a Comment